Balasan Maki Hamun Pelanggan, Kedai makan No 7 Medan Selera Klebang Diarah tutup
Kedai makan No 7 Medan Selera Klebang yang ‘popular’ sebab maki hamun pelanggan akhirnya diserbu dan diarah tutup | Melaka: Gerai makan yang menjadi viral di laman sosial kerana didakwa mengenakan harga melampau diarah tutup 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Daerah Melaka Tengah selepas gagal melepasi tahap penilaian risiko memuaskan.
Arahan menutup premis beroperasi di Medan Selera Pantai Klebang di sini, bermula kelmarin selepas pemeriksaan dilakukan wakil jabatan itu mendapati premis terbabit tidak mengamalkan amalan penyediaan makanan selamat memetik Harian Metro.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Daerah Melaka Tengah berkata, pemeriksaan dilakukan empat pegawai kesihatan diketuai pegawai kanan apabila mereka memeriksa tahap kebersihan premis dan penyediaan makanan.
“Hasil pemeriksaan, kami dapati makanan dihidang tidak ditutup dan dihurung lalat selain tahap kebersihan dalam peti sejuk beku juga diragui serta tidak berada pada suhu ditetapkan.
“Kami juga mendapati peralatan memasak seperti papan pemotong daging juga tidak bersih selain pemilik premis menggunakan kertas surat khabar sebagai pembalut bahan mentah yang disimpan di dalam peti sejuk beku,” katanya, semalam.
Jurucakap berkata, pada pemeriksaan itu, sebuah lagi premis yang terletak selang sebuah dengan premis terbabit turut diarah tutup selama 14 hari.
Katanya, kedua-dua premis terbabit diberi Perintah Penutupan Premis Makanan Tidak Suci mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan jika mereka melanggar arahan, pemiliknya boleh dihukum penjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Dalam tempoh 14 hari, kedua-dua premis ini perlu dibersihkan sehingga mencapai standard ditetapkan dan memohon untuk pemeriksaan oleh pegawai kami.
“Jika mereka beroperasi tanpa kebenaran, pemiliknya boleh didakwa di mahkamah,” katanya.
Jumaat lalu, premis terbabit menjadi viral di laman sosial selepas ada individu memuat naik dakwaan berkaitan pengusaha kedai makan itu yang kononnya mengungkapkan kata-kata kesat sesuka hatinya.
No comments: