Pakar Akui Ancaman Anonymous Malaysia Adalah Sangat Serius
Ancaman Penggodam Anonymous Malaysia Sangat Serius - Pakar | Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Anonymous Malaysia ancam serangan siber besar-besaran terhadap Malaysia
Bagi pakar keselamatan siber, Fazli Azran, ugutan yang dibuat kumpulan yang menggelarkan diri mereka Anonymous Malaysia perlu dipandang serius memetik Astro Awani.
Menerusi laman Facebook OWASP Malaysia, Fazli yang juga ketua Open Application Web Security Project (OWASP) Malaysia Chapter menasihati agar pentadbir sistem, rangkaian dan keselamatan bertindak segera.
Baca artikel terdahulu: Video Anonymous Malaysia isytihar perang internet terhadap Kerajaan Malaysia dan seru Najib letak jawatan
Menurut Fazli, kemas kini sistem perlu dilakukan segera untuk mengelak laman web digodam.
Laporan akhbar Berita Harian hari ini turut menyatakan CyberSecurity Malaysia menggesa agensi kerajaan waspada terhadap serangan Anonymous Malaysia.
Kumpulan hacktivis Anonymous Malaysia menerusi sebuah video mengumumkan perang siber terhadap kerajaan Malaysia semalam.
Video lapan minit yang dimuat naik di sebuah akaun Youtube World of Buzz bertekad untuk melumpuhkan laman web di Malaysia.
Menurut kenyataan dalam video tersebut, Anonymous mengancam untuk melancarkan serangan pada 29 dan 30 Ogos, mulai jam enam petang hingga 11 malam.
Laman yang menggunakan gov.my dan edu.my menjadi sasaran bukan kerana sistem pertahanannya lemah tetapi merupakan kepentingan kerajaan Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara yang dikatakan menjadi sasaran utama ancaman Anonymous terbaharu ini.
Kumpulan tersebut mendesak Najib untuk meletak jawatan jika mahu mengelak serangan siber ke atas Malaysia.
Anonymous mendakwa serangan dirancang itu bakal menjadi serangan yang melumpuhkan rangkaian internet terbesar di dunia.
Laman web yang menjadi sasaran utama adalah laman milik 1MDB, NajibRazak.com, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis diRaja Malaysia(PDRM).
Anonymous turut mengancam untuk melancarkan serangan terhadap 150 laman web lain dalam tempoh 48 jam jika permintaan mereka ditolak.
Ini bukan kali pertama Anonymous mengancam melakukan serangan siber terhadap laman web di Malaysia.
Menurut kajian yang dilakukan OWASP, terdapat banyak serangan penggodam yang tidak dikenali terhadap laman web di Malaysia setiap bulan.
Aktiviti defacement atau mencacatkan laman web berlaku hampir setiap bulan terhadap laman web gov.my dan edu.my.
Serangan terbesar berlaku pada bulan Mac tahun ini di mana 39 laman web gov.my dan 107 edu.my ditukar laman utamanya.
Jumlah tersebut menurun pada Jun, di mana hanya 15 aktiviti defacement dilakukan.
Sebelum ini, Anonymous pernah melancarkan Operation Malaysia pada 2011.
Ia merupakan protes terhadap kerajaan Malaysia yang didakwa menapis kandungan internet selain menghalang akses ke laman web perkongsian fail seperti Pirate Bay.
Sebagai kumpulan yang dikatakan memperjuangkan keadilan segajat, Operation Malaysia pula dilancarkan kerana dikatakan melanggar hak asasi manusia.
No comments: