Header Ads

"Sifat dermawan Faziani Rohban persis Siti Khadijah," - mudir sekolah pondok



Tazkirah ringkas oleh seorang mudir madrasah selepas pengebumian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, mengundang sebak di hati semua yang hadir.

Tazkirah kira-kira lima minit disampaikan Mudir Madrasah Darul Saadah Al Islamiyah, Kampung Lebu, Bentong, Pahang, Zahari Al Yamani, itu antara lain menyamakan sifat dermawan Allayarham Faziani, 40, seperti isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah, yang mendermakan hartanya ke jalan Allah sebelum meninggal dunia.

Dengan kira-kira 500 hadirin, Zahari mengakui Faziani bertanya cara untuk memanfaatkan kehidupan sepanjang Ramadan, kira-kira dua minggu lalu sebelum Allahyarham berangkat menunaikan umrah.

“Saya menjawab supaya dia meneruskan dengan apa yang dilakukan selama ini iaitu bersedekah dan terus istiqamah.

“Allahyarham banyak menderma hartanya ke jalan Allah sepanjang hayat, banyak yang disumbangkan kepada madrasah dan pondok termasuk madrasah saya di Bentong.

“Amal yang dilakukannya boleh disamakan seperti Siti Khadijah yang menghabiskan hartanya ke jalan Allah sebelum meninggal dunia,” katanya selepas selesai pengebumian, malam ini.



Jenazah Faziani dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit kira-kira jam 10.20 malam tadi.

Arwah dikebumikan bersebelahan kubur bapanya, Rahban Ahmad Syamsir Ahmad, yang meninggal dunia pada April 2010.

Ketika pengebumian berlangsung, anak perempuan Faziani, Irdina Hakim Jasman, 16, yang turut hadir pengsan kerana terlalu sebak.




Suami Allahyarham, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, berkata isterinya ada bertanya ketika mereka menunaikan umrah, minggu lalu.

“Dia bertanya boleh tak bayangkan jika selepas ini saya menunaikan umrah seorang diri?

“Saya menganggap ia soalan biasa tanpa mengetahui ia adalah tanda dia meninggalkan kami,” katanya.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi waktu tempatan di Pattani, Thailand, pasangan itu yang menuju ke beberapa buah pondok agama, terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan Faziani meninggal dunia di tempat kejadian manakala Ahmad Shah Rizal luka di mata.

Sumber : berita harian online

No comments:

Powered by Blogger.