Penjelasan Fara Fauzana isu baju ayam belanda di AJL30
Fara Fauzana ulas isu baju ayam belanda di AJL30 | Fara Fauzana berharap peminat tidak menyalahkan pereka apabila persalinan kedua oleh Rizalman Ibrahim yang dipakainya ketika mengacarakan Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30), Ahad lalu, menjadi viral.
Pakaian berwarna hitam dipadankan dengan tudung merah yang dikenakan penyampai Hot FM itu hangat diperkatakan apabila ia disamakan dengan ‘ayam belanda’.
Malah, sekeping gambar yang meletakkan Fara bersebelahan dengan karakter animasi haiwan berkenaan tersebar beberapa minit selepas personaliti radio itu muncul di pentas dengan pakaian terbabit lapor Berita Harian.
PENGACARA malam kemuncak AJL 30, AG (kanan sekali) dan Fara Fauzana (dua dari kiri) bersama penyanyi, Zaiton Sameon di Stadium Malawati. |
Sebelum itu, Fara turut mengenakan persalinan rekaan Lynda Rahim.
“Pereka tiada salahnya kerana mereka penat bekerja demi mencantikkan saya. Bukan salah baju, tetapi salah badan saya yang ‘sado’. Jadi, kalau nak kutuk, biarlah saya yang dikutuk. Jangan kutuk pereka fesyen,” kata Fara di laman Instagramnya, semalam.
Rizalman sebelum itu menjelaskan, busana dipakai Fara pada malam AJL30 ialah koleksi sedia ada daripada tahun lalu.
Beliau turut memberitahu, baju terbabit dipinjam Fara pada saat akhir apabila pakaian oleh pereka fesyen lain yang sepatutnya digayakan wanita itu, tidak bersesuaian dengan tema majlis anugerah berkenaan.
Sementara itu, mengenai kritikan terhadap gaya pengacaraan pada acara terbabit, Fara yang mengendalikan AJL30 bersama AG, enggan memanjangkan perkara berkenaan.
“Saya cukup seronok bekerja dengan AG. Dialah hero saya pada malam itu. Bab gagap dan tersilap itu memang (salah) saya. Gementar itu janganlah cakap kerana sudah bertahun saya tak mengacarakan AJL.
“AG yang banyak ‘cover’ kesilapan saya. Apapun, saya sayang awak semua dan terima kasih kepada yang sudi memberi komen.
“Positif atau negatif komen kalian, saya tetap suka kerana itu tanda semua yang menonton dan memerhatikan saya sangat prihatin,” katanya.
No comments: