Padah tolong abang tanam bayi
Adik tolong abang tanam bayi terima padah | Dua beradik dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan menanam mayatnya di Taman Semarak, Nilai.
Muhammad Faez Mohd Fuzi, 24, dan Mohamad Fazrul Mohd Fuzi, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda sebanyak RM5,000 seorang atau dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar.
Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan mereka, iaitu pada 12 Januari lepas lapor Bernama.
Seorang lagi tertuduh yang merupakan ibu bayi berkenaan, Nurul Atikha Abu Zarin, 25, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Majistret Siti Khairiah membenarkan Nurul Atikha diikat jamin RM3,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan jalan mengebumikannya dengan sulit sama ada bayi itu mati sebelum atau selepas atau dalam masa ia dilahirkan.
Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 6 petang pada 9 Januari lepas di Flat Taman Semarak, Nilai.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua
tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Muhammad Faez yang bekerja sebagai jurujual merupakan teman lelaki Nurul Atikhah yang bekerja di sebuah kilang di Nilai manakala Mohamad Fazrul merupakan penganggur.
Dua beradik itu diwakili peguam Iwana Sakinah Mohd Lajis manakala Nurul Atikhah diwakili peguam Maanor Yusoff.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khatijah Mohd Pisol.
No comments: