Header Ads

Luahan mangsa kaki putus digilis lori

Luahan pelajar kaki digilis lori sampai putus | “Saya kena kuat untuk teruskan hidup dan saya mahu kaki palsu supaya senang nak berjalan nanti,” kata Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang putus kedua-dua kakinya selepas digilis lori dalam kejadian di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Siti Nuraisyah yang juga anak keempat daripada tujuh beradik berkata, dia membonceng motosikal Honda EX5 yang ditunggang kakak tirinya sebelum dilanggar kereta dari arah belakang.

Katanya, kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14, cedera pada badan serta terseliuh kaki kanan dan kiri.

Luahan mangsa kaki putus digilis lori
Siti Nuraisyah yang kehilangan kedua-kedua kaki ditemani Maimunah di HTAR, Klang. 

“Saya terjatuh di tengah jalan dan tak perasan ada lori. Kenderaan itu menggilis kaki saya dan terus beredar dari tempat kejadian.

“Waktu itu, saya macam nak pengsan sebab banyak darah keluar. Saya menjerit sekuat hati kerana saya memang takut dengan darah.

“Saya masih terkejut dan trauma dengan apa yang berlaku. Saya kena cekal dan tabah terutama untuk dapat berjalan semula seperti biasa,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pagi tadi.

Ibu Siti Nuraisyah, Maimunah Md Razali, 48, berkata dia mengetahui anaknya terbabit kemalangan selepas dihubungi orang awam memaklumkan anaknya kemalangan pada 3 petang, semalam.

“Saya terus ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Bagan Terap. Sedih melihat keadaannya ketika itu kerana banyak darah di kakinya.

“Sebagai ibu, saya tidak dapat gambarkan betapa sedihnya saya. Saya tidak dapat menerima hakikat dia (Siti Nuraisyah) terbabit kemalangan sehingga menyebabkan dua kakinya putus,” katanya yang menangis.

Katanya, dia sedih melihat Siti Nuraisyah tidak dapat berjalan seperti biasa.

“Sebelum ini, dia (Siti Nuraisyah) akan menangis kalau terjatuh dan cedera sebab dia takut darah tapi masa hari kejadian, dia kuat semangat… langsung tak menitiskan air mata.

“Tapi hati ibu mana yang tidak pilu melihat anak perempuan kesayangannya tiada kaki, sebak melihat keadaannya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap akan ada pihak tampil membantu bagi meringankan beban ditanggungnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata,pemandu kereta dan lori yang terbabit dalam kemalangan berkenaan sudah membuat laporan polis kira-kira 12.45 hingga 1.30 pagi tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kami kini dalam proses memanggil saksi kejadian dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.

(Baca: Luahan anak pemandu Perodua Kancil yang didakwa penyebab pelajar putus dua kaki)

No comments:

Powered by Blogger.