Header Ads

Luahan peneroka sekiranya perlombongan bauksit dihentikan

‘Jika perlombongan bauksit dihentikan, apa kami semua nak makan?’ – Peneroka | Di sebalik kegembiraan penduduk daerah ini menerima keputusan kerajaan menangguhkan tiga bulan kegiatan perlombongan bauksit, peneroka Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan yang terlibat dengan aktiviti itu memberikan reaksi berbeza.

Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Masalah Bauksit Bukit Goh, Shahrudin Mohd berkata kerajaan sepatutnya memberikan tempoh yang lebih panjang untuk tuan punya tanah bauksit mengeluarkan hasil yang telah dikumpul lapor Astro Awani.

Luahan peneroka sekiranya perlombongan bauksit dihentikan

Tempoh yang diberikan sehingga 15 Januari ini terlalu singkat untuk tuan tanah seperti mereka untuk mengeluarkan semua bauksit dari kawasan penyimpanan, dan ini belum lagi ditambah dengan tindakan penguatkuasaan yang menghalang kerja-kerja itu, katanya.

“Bayangkan terdapat seramai 248 peneroka Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan yang selama ini bergantung rezeki dengan hasil perlombongan ini.

“Dianggarkan kami memperoleh RM2,000 sebulan hasil pembayaran pengeluaran bauksit setiap bulan, jika diberhentikan sementara, kami semua nak makan apa dalam tempoh tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya banyak pihak yang salah faham dengan beranggapan peneroka yang terlibat telah memperoleh pendapatan yang lumayan hasil pajakan tanah mereka kepada pengusaha bauksit.

“Kami hanya mendapat bayaran deposit sahaja tahun lepas antara RM50,000 sehingga RM100,000 dan tidak ramai yang mendapat bayaran sehingga berjuta ringgit seperti anggapan sesetengah pihak sebelum ini.

“Sehubungan itu saya mewakili peneroka terlibat memohon kerajaan sekali lagi agar mempertimbangkan semula tempoh tersebut dan tidak melaksanakannya secara tergesa-gesa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak berniat menghalang kerajaan untuk melaksanakan tempoh moratorium itu, namun mengharapkan satu penyelesaian terbaik dapat dicari dengan memberikan situasi menang-menang terhadap semua pihak yang terlibat termasuk pengusaha lombong dan penduduk Kuantan sendiri.


Berikutan itu Shahrudin turut mencadangkan agar perbincangan meja bulat diadakan antara semua pihak yang terlibat dalam kegiatan perlombongan bauksit dengan agensi kerajaan berkenaan agar penyelesaian dapat dicari.

No comments:

Powered by Blogger.