Header Ads

Fahrin Ahmad puas penonton lelaki menangis teresak-esak

Penonton lelaki menangis teresak-esak, Fahrin Ahmad rasa puas | Sebagai anak wayang, Fahrin Ahmad puas hati apabila lakonannya membawa kesan mendalam sehingga penonton lelaki filem “Pilot Cafe” turut menangis.

Filem yang diangkat daripada novel Ahadiat Akashah, penulis popular era 1990-an, ditayang April lalu dan berjaya mengutip lebih kurang RM1.6 juta lapor Malay Mail.

Fahrin Ahmad puas penonton lelaki menangis teresak-esak

“Antara yang puas hati, ‘Pilot Cafe’ pasal lelaki tengok [juga] menangis, itu OK-lah. Ada yang kata ‘suami saya menangis senyap-senyap sebelah saya’.

“Satu lagi penanda aras bagi ‘Pilot Cafe’, orang kata apa yang mereka baca [novel], itu yang mereka harapkan.

“Watak Amir Reza serupa yang dibayangkan dan tidak banyak perbezaan. Itu satu kejayaan membawa watak yang diterjemah dari novel,” katanya. 

Beristerikan seorang pramugari dalam kehidupan sebenar, Fahrin membawa watak juruterbang kegilaan wanita dalam filem romantik arahan Osman Ali.

Fahrin Ahmad, 36, berkata demikian semalam ketika ditemui media sewaktu menunjukkan gajet terbaharunya, jam pintar Samsung Gear S2.

Jam tersebut yang boleh berhubung kepada telefon pintar Samsung dilihat menjadi pelengkap kehidupan seharian Fahrin yang gemar melakukan aktiviti kecergasan.

Beliau kini menunggu kepulangan isterinya Elena Hani kembali ke tanah air bagi memberi fokus sepenuh masa kepada rumah tangga.

Pelakon filem “Puaka Tebing Biru” berkata kehadiran pelakon baharu bukanlah ancaman kepada dirinya kerana percaya rezeki yang ditetapkan Tuhan.

Katanya, industri seni di Malaysia seakan-akan satu kitaran yang menyaksikan pasang surut populariti seseorang artis.

“Saya selalu pesan kepada generasi baru yang masuk bidang ini, kita semua berbeza dan kamu perlu buat kerja dengan terbaik.

“Dalam industri ini, tuah boleh datang bila-bila masa saja asalkan tidak putus asa, kita buat apa yang terbaik apabila diberi kerja kerana itu yang saya tengok kerjaya saya 13 tahun ini.

“Dalam industri ini, macam ada kitaran, orang yang ini naik dan kemudian turun. Tiada yang di puncak sampai bila-bila kerana produk orang lain akan keluar,” katanya, berbicara tenang.

No comments:

Powered by Blogger.