Header Ads

Pasangan saman hospital RM10 juta dedah kisah sebenar

Punca sebenar kenapa pasangan guru saman hospital RM10 juta | Pasangan guru memfailkan saman RM10 juta terhadap 10 doktor dan Hospital Besut, di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini didakwa cuai hingga mengakibatkan kematian anak perempuan mereka yang berusia 4 tahun, dua tahun lalu.

Saman menuntut keadilan bagi pihak Ulya Insyirah Muhamad Sardi itu difailkan Muhamad Sardi Saad, 39, dan isteri, Fadilah Abd Wahab, 45, melalui Tetuan Syukran Noordin Advocates & Solicitors, pada jam 11 pagi.

Mereka menamakan Dr Shairazi Azizi Mohd Salleh; Dr Mohd Ruhaifi Yusuf; Dr Norzaherawati Aryani Md Tahir; Dr Hasmani Hamat; Dr Muhammad Solehuddin Ishak dan Pengarah Hospital Besut sebagai defendan pertama hingga keenam.

Plaintif turut menamakan Dr Noor Ain Noor Afendi; Dr Sharifah Huda Engku Alwi; Datuk Dr Jimmy Lee Kok Foo; Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketujuh hingga ke-11 lapor Viraliyat.

Pasangan saman hospital RM10 juta dedah kisah sebenar

Menceritakan kembali detik hitam menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu, Fadilah berkata, Ulya yang dibahasakan sebagai adik, terjaga daripada tidur dan muntah-muntah pada jam 4 pagi, 5 Disember 2013.

“Saya bawa Ulya ke hospital pada jam 9.30 pagi dan diberi rawatan susulan serta dimasukkan air. Tidak lama selepas itu tangan dan badannya bengkak. Pada jam 5 petang, saya tanya doktor kenapa macam tu, doktor berkenaan hanya jawab ‘tidak tahu’ dan beredar.

“Pada jam 11 malam, kerana tidak puas hati, saya tanya sekali lagi dan minta pemeriksaan X-ray dilakukan. Hasilnya mendapati ada tompokan putih iaitu lebihan air dalam paru-paru. Ketika itu, keadaannya amat kritikal dan lemah hingga tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan genting itu juga, datang seorang lagi doktor memasukkan ubat dan kerana kelemahan material seperti plak rosak serta kehabisan gas dan ketiadaan kepakaran, Ulya kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada jam 5 pagi, esoknya.

“Sampai di sana pada jam 6.50 pagi, Ulya dimasukkan ke wad rawatan rapi dan saya serta suami hanya dibenarkan menunggu di luar. Tiada apa-apa makluman sehinggalah pada jam 8.05 pagi, kami diberitahu Ulya sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Sardi berkata, pemergian Ulya yang mempunyai seorang abang berusia 14 tahun dan kakak berusia 10 tahun tersebut memberi kesan yang sangat mendalam sekali gus merubah sebahagian besar rutin kehidupan mereka sekeluarga.

Katanya, dia dan isteri mengalami trauma tidak dapat tidur, makan atau melaksanakan tugas seharian dengan sempurna hingga memaksa mereka mendapatkan rawatan terapi mental serta emosi bersama Pakar Psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini, hingga kini.

“Kami meredai pemergian Ulya, tetapi saman ini sebagai pembuka jalan supaya ada satu perubahan di Hospital Besut, kami tidak mahu nyawa tidak berdosa melayang dan perkara sama berlaku pada orang lain, cukuplah pada anak saya dan orang lain tidak perlu menerima nasib sama macam kami,” katanya.

Pihak plaintif menuntut ganti rugi am terbabit kerana kecuaian pihak berkenaan yang didakwa hingga menyebabkan kematian anak mereka akibat bengkak dalaman serius kerana kemasukan air atau lebihan ubat rawatan.

No comments:

Powered by Blogger.