Jolokan PPR: Penagih Paling Ramai
PPR di Lembah Klang dapat jolokan ‘PPR: Penagih Paling Ramai’ | Seperti akronimnya, Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang turut mendapat jolokan lokasi ‘penagih paling ramai’ (PPR) berikutan kawasan kediaman itu kian menjadi tumpuan utama golongan pengedar dadah.
Kegiatan jenayah itu semakin serius berikutan lokasi kediaman PPR dihuni ramai penagih dadah tegar, sekali gus menyebabkan wujud permintaan berterusan daripada pelanggan memetik Harian Metro.
PENAGIH bebas keluar masuk untuk membeli dadah sama ada menggunakan motosikal ataupun berjalan kaki. |
Hasil tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa PPR sekitar ibu kota sejak seminggu lalu mendapati aktiviti menjual dadah berlaku saban hari apabila kumpulan pengedar dadah ini muncul untuk menghantar bekalan kepada pelanggan sama ada waktu awal pagi atau malam.
Kegiatan jenayah itu dikesan berlaku di PPR Pudu Ulu (Cheras), PPR Sri Anggerik (Jalan Klang Lama), PPR Beringin (Kepong), PPR Intan Baiduri (Selayang), PPR Taman Putra Damai (Lembah Subang), Flat San Peng (Jalan Hang Tuah) dan Projek Perumahan Awam Desa Rejang (Setapak) di sini.
Malah kebanyakan penghuni di kawasan itu yang ditemui mengakui berlakunya kegiatan penagihan dan pengedaran dadah secara berleluasa di kawasan mereka.
Lebih menggusarkan apabila gejala negatif terbabit turut mendorong remaja yang menginap di PPR itu terjebak dalam aktiviti jenayah itu.
Seorang penghuni PPR Intan Baiduri, Sivanesan Sinasami, 44, berkata, pengedar dan penagih di kawasan itu menjadikan kawasan sunyi dan gelap seperti tangga serta kaki lima bangunan perumahan terbabit untuk melakukan urus niaga dadah.
Katanya, walaupun kegiatan dilakukan secara berselindung, ramai penduduk terserempak dengan aktiviti jenayah itu.
“Penduduk kerap ternampak pengedar dan ‘mat gian’ terbabit menjalankan aktiviti serah dadah di kawasan tangga perumahan ini. Kebanyakan penjual dadah adalah orang luar dan perkara ini berlaku waktu malam,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Anggerik Mohd Noor Abu pula berkata, masalah membabitkan dadah di kawasan penempatannya turut didapati berlaku terutama di kawasan semak berhampiran.
“Pengedar dan penagih menjadikan kawasan semak berdekatan perumahan ini sebagai lokasi untuk melakukan urus niaga dan melepaskan gian. Perkara ini berlaku sejak lebih 10 tahun lalu.
“Walaupun serbuan serta tangkapan dilakukan polis, masih ada yang berani melakukan perkara sama tidak lama kemudian,” katanya.
Sementara itu, tinjauan dilakukan di Projek Perumahan Awam (PPA) Desa Rejang, Ampang Jaya mendapati kegiatan pengedaran dan penagihan dadah berlaku di kawasan itu.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPA Desa Rejang Ismail Shaari berkata, masalah penagihan dan pengedaran dadah di kawasan itu masih berlaku berikutan terdapat permintaan daripada segelintir penduduk.
Menurutnya, penduduk mengambil tindakan dengan mengadakan kerjasama bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan mewujudkan Kepolisan Komuniti (Community Policing) bagi mengekang jenayah serta penyalahgunaan dadah.
No comments: