Nenek Mampu Besarkan 13 Orang Anak Sampai Berjaya, Tapi Waktu Nenek Sakit, Semua Nak Lepas Tangan. Lepas Nenek “Pergi”, Ada Sesuatu Yang Berlaku …
Assalamualaikum pembaca yang dihormati sekalian. Aku membuat luahan hati disini kerana teramat rindukan nenek ku yang meninggal dunia pada awal Januari 2018. Sayu hati terkenangkan penderitaannya ketika hayatnya. Maafkan aku jika penulisan ku tidak berapa baik. Ambil lah iktibar dan jadikan pengajaran/panduan dalam kehidupan.
Nenek ialah ibu kepada ayahku. Meninggal dunia di usia 72 tahun. Nenek, yang ketika hidupnya terlalu banyak dugaan Allah berikan. Nenek, yang ketika hidupnya amat disenangi dan disayangi orang sekeliling kerana dia seorang yang sangat pemurah, suka memasak, kelakar dan cantik. Ya, walaupun sudah tua, walaupun bermacam penyakit yang datang, nenek tetap cantik dimataku.
Nenek mempunyai anak seramai 13 orang (termasuk ayahku). Ayahku anak ke 2. Nenek dan atuk bercerai ketika usia telah senja, ketika anak-anak telah dewasa. Atuk gilakan perempuan muda dan mahu menikahi perempuan itu. Nenek tidak sanggup bermadu, lalu meminta cerai. Dalam masa yang sama, Mak Su ku (adik bongsu ayah) ketika itu sedang sakit. Sedih bila mendengar cerita ayah. Tidak dapat ku bayang apa yang nenek lalui ketika itu. Kehilangan suami yang dicintai, dan anak yang dikasihi sakit teruk. Kucar kacir hidupnya, tapi masih mampu menggembirakan orang lain. Insha Allah syurga untukmu nenek.
Nenek sakit, nenek ada banyak penyakit. Kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kanser uterus, dah bermacam lagi sakit yang datang akibat komplikasi rawatan kanser. Berpuluh tahun nenek sakit. Ya Allah kasihan nenek. Maafkan cucumu ini kerana mencari rezeki jauh darimu. Tidak dapat menjaga dan menggembirakanmu.
Nenek menderita. Nenek ramai anak, tetapi anak-anak sering bergaduh tentang siapa yang akan menjaga nenek, menemani nenek ke hospital untuk check-up. 13 orang anak itu sering bergaduh sehingga tidak bertegur sapa berbulan lamanya. Bermaki hamun didalam whatsapp group hanya untuk menjaga seorang ibu. Nenek dijaga oleh pembantu dari Indonesia dan private nurse yang diupah oleh ayahku. Ayah pula terlalu sibuk dengan perniagaan nya.
Kasihan nenek. Nenek mampu menjaga 13 orang anak sehingga semuanya berjaya. Semua. Tidak ada seorang pun yang susah atau hidup dalam bersederhana. Semuanya mewah. Mak long kontraktor kelas A, ayah mempunyai firma arkitek sendiri, yang dibawah ayah, seorang Chartered Accountant, tidak lama lagi akan buka firma sendiri juga. Yang lain-lain, Engineer, Lawyer, Doctor. Tapi kenapa tidak ada seorang pun yang jaga nenek ketika nenek sakit, terlantar dihospital? Semuanya diserahkan kepada pembantu dan nurse. Bagaimana aku tahu walaupun aku jauh? Kerana aku rapat dengan pembantu Indonesia itu dan sering berwhatsapp bertanyakan kabar nenek.
Kasihan nenek, sering bertanyakan anak-anaknya. Sering bertanyakan ‘terlalu sibuk kah anak-anakku, sehingga tidak dapat melawat aku?’. Kasihan nenek, rindukan anak-anaknya. Mahukan perhatian anak-anaknya. Tapi yang diberikan hanyalah duit, duit, duit. Masing-masing hanya lepas tangan. Beranggapan dengan memberi duit, mereka sudah cukup berbakti.
Kasihan nenek. Selalu menangis kesakitan, sussah tidur malam, dan tidak berselera untuk makan. Hanya menangis dan menyebut nama anak-anaknya satu persatu. Menurut pembantu, setiap hari nenek akan meminta pembantu untuk membawa nenek ke pintu utama. Nenek akan duduk termenung disitu beberapa minit, dan kemudian meminta pembantu membawanya masuk kedalam bilik semula. Mungkinkah nenek menantikan kepulangan anak-anaknya?
Aku bersyukur kerana ketika nenek meninggal dunia, aku sedang bercuti di kampung. Aku berada disisi nenek ketika dia sedang nazak. Aku membisikkan kalimah Allah ke telinganya. Sungguh aku sayu. Sedih. Nenek pergi pada hari jumaat disisi 5 orang anak-anaknya dan beberapa orang cucu. Anak-anak yang lain masih diperantauan.
Aku lihat penyesalan di wajah ayahku, dan anak-anak nenek yang lain. Penyesalan yang teramat sangat. Mereka menangis seperti anak kecil. Ayahku tidak mampu menjejakkan kaki ke bilik nenekku. Pandang sahaja pintu bilik, pasti dia akan menangis. Dan aku terlihat Mak Su menangis di atas katil di mana nenek terlantar sambil memeluk baju terakhir yang nenek pakai. Aku tahu mereka sedih..tapi, kalau lah mereka tunjukkan kasih sayang yang sebegitu rupa ketika nenek masih hidup, pasti nenek bahagia. Semuanya sudah terlambat.
Aku yakin, Allah akan tempatkan nenek ke syurga. Kalian doakan nenek sekali ya. Semoga Allah ampuni segala dosa-dosanya.
I miss you nenek. Tenanglah disana…
Sumber : Liyana via beritadinding
No comments: