Alhamdulillah, Mohd Adib Dijangka Boleh Berkahwin Hujung Bulan Ini. Menteri Zuraida Dedahkan Keadaan Terkini Adib Yang Pasti Menggembirakan Rakyat Malaysia...
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yakin anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dapat melangsungkan perkahwinannya pada hujung bulan ini berikutan perkembangan tahap kesihatannya positif dari semasa ke semasa.
Zuraida berkata, pihaknya percaya Muhammad Adib akan kembali bertenaga seperti anak muda berusia 24 tahun selepas melalui proses perubatan secara berterusan dikendali doktor berpengalaman.
“Saya lihat keluarga Adib lebih ceria, nampak ibu bapanya berlainan dan gembira.
“Ketika Adib dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) minggu lalu, mukanya bengkak, saya ingatkan Adib bertubuh gempal.
“Hari ini, saya dapat lihat diri sebenar Adib, dia kurus orangnya.
“Dia tidak boleh bercakap kerana ada tiub dalam mulutnya, dia boleh bergerak, doktor pun nasihat jangan terlalu kaku,” katanya pada sidang media di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.
Sementara itu, Dr Aizai Azan berkata, Muhammad Adib akan kekal ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN sehingga sembuh sepenuhnya.
“Proses pemulihan mengambil masa, kita harus bersabar, kita puas hati dengan perkembangan positif Adib dari semasa ke semasa.
“Adib akan terus kekal di ICU, kita harap perkembangan yang lebih ketara dalam masa dua hingga tiga minggu ini,” katanya.
Sementara itu, menerusi kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat IJN yang dikeluarkan hari ini, Muhammad Adib memberi reaksi positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, pada Ahad lalu.
Menurutnya, jantung Muhammad Adib berfungsi dengan baik tanpa sokongan sebarang mesin.
“Paru-paru kiri mangsa menunjukkan tanda pemulihan awal.
“Dia tidak memerlukan begitu banyak bantuan oksigen dan alat ventilator sejak malam tadi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis di bahagian pinggang walaupun organ itu sudah bertambah baik.
“Muhammad Adib kini sedang menjalani rehabilitasi paru-paru.
“Dia didedahkan dengan senaman anggota badan bersama pegawai fisioterapi IJN,” katanya.
Sumber : Harian Metro
No comments: