Papagomo ditahan kerana siar kenyataan berbaur hasutan - Ketua Polis Negara
Penahanan Blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dibuat kerana tindakannya menyiarkan kenyataan-kenyataan menerusi video berbaur hasutan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Papagomo juga dilihat cuba menaikkan sentimen perkauman.
Sehubungan itu, tegasnya, polis perlu mengambil tindakan sewajarnya seperti menahan atau menangkap kerana isu perkauman yang dibangkitkan boleh menjejaskan keselamatan negara.
"Kita tidak mahu perkara berkaitan perkauman dibangkitkan dalam keadaan luar biasa. Jika dibiarkan, ia akan menimbulkan masalah lain dari segi keselamatan.
"Jadi kita bukan sahaja mengambil tindakan terhadap Papagomo ini tetapi semua yang terlibat terutama mereka yang menggunakan media sosial untuk menimbulkan keadaan tegang dalam kalangan masyarakat," katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak antara Datuk Hasnan Hassan dan pemangku, Datuk Razaruddin Husain di Ipoh.
Wan Muhammad atau Papagomo ditahan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang awal pagi ini untuk membantu siasatan dipercayai berhubung perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini.
Papa Gomo ditahan kerana keluarkan kenyataan berbaur hasutan - KPN
IPOH: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengesahkan penahanan pengendali blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris semalam, berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan.
Mohamad Fuzi berkata, penahanan itu adalah bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan satu video yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri yang didakwa cuba menaikkan sentimen orang ramai berkaitan isu perkauman.
“Semua kena sedia maklum, (penahanan) ini ekoran kenyataan-kenyataannya (Wan Muhammad Azri) berbaur hasutan dikeluarkan pada video yang cuba menaikkan sentimen orang ramai, kita tak mahu perkara berkaitan isu perkauman ini dibangkitkan dalam keadaan luar biasa.
“Jika kita biarkan perkara begini, ia akan menyebabkan masalah lain pula berkaitan isu keselamatan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid akan memangku tugas Ketua Polis Perak berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Hasnan Hassan yang bersara wajib.
Menerusi semakan pada akaun Facebook menggunakan nama Sir Azri dipercayai milik Wan Muhammad Azri mendapati terdapat satu video secara langsung dibuatnya kelmarin dengan mengetengahkan tajuk ‘Ini Tanah Melayu’.
Difahamkan, penahanan Wan Muhammad Azri adalah membabitkan isu diketengahkan dalam video itu yang sudah ditonton seramai 327,000 pelayar dan dikongsi oleh 9,900 pelayar.
Mohamad Fuzi berkata tindakan bukan saja akan diambil terhadap Wan Muhammad Azri tetapi juga kepada semua pihak yang cuba menggunakan media sosial untuk menaikkan sentimen perkauman.
“Kita (polis) bukan saja akan ambil tindakan terhadap Papa Gomo ini tetapi semua yang terbabit terutama yang menggunakan media sosial ini untuk menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan polis dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Perak, V Sivakumar, berkaitan pergolakan politik di negeri ini, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan membuka kertas inkuiri terhadap laporan itu.
“Kita (polis) akan tengoklah keperluan dari segi siasatan dalam masa terdekat ini, terutama dakwaan pihak tertentu berhubung isu pergolakan politik di negeri Perak ini.
“Kita (polis) sedar mengenai perkara ini dan akan ambil langkah perlu untuk memastikan keadaan ini tidak menjejaskan keselamatan khususnya di Perak,” katanya.
Ditanya jika akan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan, Mohamad Fuzi berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan siasatan yang akan dijalankan.
Kelmarin, Sivakumar membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi bagi meminta siasatan menyeluruh berhubung isu dakwaan ada usaha menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagi memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.
Sumber : Astro Awani Dan Berita Harian Online
No comments: