Saintis jalankan ujian imbasan ke atas buaya mumia berusia 2,500 tahun, ini yang mereka temukan
Masyarakat Mesir purba sememangnya dikenali dengan amalan mengawet manusia yang juga dikenali sebagai mumia. Namun selain daripada manusia, mereka turut mengamalkan amalan mengawet haiwan peliharaan seperti kucing, monyet dan burung.
Menurut kepercayaan, perbuatan memumiakan haiwan ini membolehkan haiwan-haiwan tersebut mengikuti mereka sehingga ke kehidupan selepas mati. Salah satu haiwan yang pernah diawet dan dianggap sebagai haiwan mumia paling luar biasa dalam sejarah mumia adalah buaya!
Penemuan buaya mumia oleh para saintis dan kakitangan Muzium Antik Kebangsaan Belanda dari era tamadun Mesir purba sepanjang tiga meter ini benar-benar mengejutkan dan mengagumkan mereka pada masa yang sama.
Sebelum ini pada tahun 1996, buaya mumia tersebut pernah diimbas dengan pengimbas CT.
Setelah ujian imbasan dijalankan, didapati balutan mumia tersebut sebenarnya mengandungi dua ekor buaya yang diawet secara bersama.
Imbasan CT dengan teknologi moden tiga dimensi terkini yang dijalankan ke atas buaya mumia tersebut kemudiannya mendapat keputusan yang jauh lebih mengagumkan.
Rupa-rupanya, terdapat 47 ekor anak buaya bersama-sama dua ekor buaya dewasa di dalam balutan yang sama! Penemuan anak buaya ini memberikan peluang kepada para pengkaji untuk mendalami kaedah memumiakan buaya.
Hasil ujian imbasan tersebut turut menemui beberapa tangkal yang disusun di dalam balutan kain itu. Perkara ini meningkatkan kefahaman pengkaji mengenai usia, ciri-ciri fizikal serta keseluruhan proses awetan.
Menurut kenyataan daripada kurator muzium, “… kami tidak rasa akan ada penemuan baru. Lagi pun, buaya ini sudah menjalani ujian imbasan.
Ianya adalah satu kejutan besar bahawa terdapat begitu banyak anak buaya di dalam balutan mumia tersebut yang dikesan melalui penggunaan teknologi imbasan 3D canggih”.
Para pengkaji Mesir yang bekerja di muzium berkenaan mendakwa buaya-buaya tersebut dijadikan sebagai mumia bagi mengagungkan Tuhan Sungai Nil, Sobek.
Kuil Kom Ombo merupakan pusat terbesar penyembahan Sobek sewaktu zaman Roman dan Ptolemaic.
Menurut sumber, masyarakat Mesir purba akan memelihara buaya di dalam kuil dan kolam.
Malah, mereka turut menghiasi haiwan ganas ini dengan permata dan barangan kemas sebagai tanda penyembahan dan keagungan kepada Sobek.
Sobek yang turut digambarkan sebagai tuhan berkepala buaya dihiaskan dengan mahkota Atef sekali gus menghubungkan Sobek dengan Amon-Ra, dewa terbesar dalam masyarakat Mesir.
Selain memumiakan buaya dan anaknya, masyarakat Mesir zaman dahulu turut memakamkan telur buaya bersama-sama dengan bangkai dengan tujuan untuk mendapatkan perlindungan Sobek dalam kehidupan seterusnya.
Sumber: erabaru.com
No comments: