Mereo: Piramid Yang Dibina Lebih Awal Dari Piramid Mesir
Piramid Mesir merupakan antara tujuh keajaiban dunia. Namun jika menyebut mengenai piramid, ramai yang menyangka hanya Mesir sahaja memiliki monumen unik itu, yang diperbuat daripada batu padu dan dibina sebagai makam firaun. Piramid juga dipercayai adalah tangga yang digunakan oleh roh-roh firaun untuk menuju ke langit.
Namun, tidak ramai yang mengetahui sebelum piramid di Mesir dibina, terdapat piramid yang lebih awal dibina iaitu di kawasan gurun di utara Sudan yang dipercayai dibina oleh penduduk Nubia di Afrika Utara.
Sudan merupakan antara tapak awal peradaban manusia. Jika dilihat daripada kronologi sejarah peradaban awal manusia, terdapat beberapa tamadun kecil pra-Firaun dibina di negara pertemuan dua Nil itu.
Fakta-fakta menarik:
Piramid tertua yang dikenali sebagai Mereo, ditemukan berhampiran Sungai Nil yang dikatakan dibina kira-kira 300 tahun sebelum piramid di Mesir dibina.
Sama seperti piramid-piramid di Mesir, piramid di Nubia juga dibangunkan sebagai makam diraja dan ratu. Monumen itu dipercayai menyimpan banyak warisan arkeologi yang tersembunyi.
Penduduk Nubia membina lebih banyak piramid berbanding orang Mesir, tetapi saiznya jauh lebih kecil dan lebih curam berbanding piramid Mesir dan merupakan tugu dan makam untuk raja yang meninggal dunia.
Kerajaan Nubia merupakan sebuah empayar yang makmur berdasarkan penemuan awal kawasan perkuburan yang tersusun berbentuk bulatan yang menempatkan sekitar 3,000 kubur yang ‘penghuninya’ kelihatan dikebumikan mengikut istiadat tersendiri.
Setiap mayat dikebumikan bersama-sama binatang peliharaan dan dilapik dengan kulit lembu yang telah diawetkan.
Mayat-mayat itu kemudian diletakkan dalam keadaan seperti di dalam rahim ibu dengan tangan mereka diletakkan menutup muka.
Penemuan itu menunjukkan penduduk Nubia memiliki tamadun yang tinggi. Ahli arkeologi beranggapan, pembangunan piramid Mereo dibuat dengan cara yang sistematik berdasarkan cara pembuatannya.
Sehingga kini ahli arkeologi masih meneruskan kajian ke atas Piramid Mereo di Sudan dan bersedia untuk memperluaskan penyelidikan di kawasan tersebut.
No comments: