Header Ads

Kisah Ketua Polis Negara Malaysia Dibunuh Dengan Kejam

Kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman bersama dengan Sarjan Omar Yunus.

Dua penjenayah yang dipercayai anggota subversif komunis, seorang daripadanya Lim Woon Chong, alias Ah Kwong, 21 tahun dipercayai pemimpin Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) seorang lagi Ng Foo Nam 23 tahun melepaskan tembakan yang membunuh Rahman.

Mereka juga terbabit dalam pembunuhan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Khong di Jalan Ashbay, Ipoh pada November 1975. Mereka telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1978.

Kisah Ketua Polis Negara Malaysia Dibunuh Dengan Kejam

Di dalam kereta inilah Tan Sri Abdul Rahman Hashim ditembak dengan 11 das tembakan ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Bukit Aman.

Tan Sri Rahman Hashim memang berpengalaman luas dalam kerjaya sebagai seorang pegawai polis dan telah berkhidmat selama 33 tahun. Dalam rentetan peristiwa yang telah dilalui, beliau baru berkhidmat dua bulan apabila tentera Jepun menyerang Pearl Harbour pada 8 Disember 1941 yang membawa kepada tercetusnya Perang Pasifik.

Abdul Rahman adalah pegawai polis pertama yang memberikan kerjasama kepada tentera Jepun yang menyerang negeri Kedah. Tindakan itu bertujuan mengembalikan keamanan kepada negeri itu.

Beliau turut menjadi anggota polis ketika pendudukan Siam di Kedah pada tahun 1943.

Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim telah dilahirkan pada 7 Julai 1923. Bapa beliau ialah Hashim bin Md Saman berasal dan Kampung Ceruk Tun Kun, Bukit Mertajam. Pak Hashim sebelum menjadi Guru Besar Sekolah Sungai Limau, beliau bekerja dengan Nyak Hussein (bapa Prof Ismail Hussein) di kedai jahit Tuk Su Hanafi.

Ketua Polis Negara Malaysia Pernah Ditembak Mati

Pada 17 Oktober 1941 Tan Sri telah dilantik sebagai seorang pegawai dalam polis negeri Kedah berpangkat Sub-Inspektor. Dalam pasukan polis beliau telah berkhidmat selama 33 tahun dalam berbagai jawatan di negeri-negeri Kedah, Selangor, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Di Kedah beliau telah berkhidmat di Bandar Baharu, Baling, Gurun, Kuala Nerang dan Alor Setar.

Pada masa Perang Pasifik tamat beliau adalah Ketua Polis Daerah Kuala Nerang. Pada tahun 1949 beliau telah dipindahkan ke Kajang sebagai Pegawai Penyiasat. Ini adalah pertukaran pertama baginya di luar Negeri Kedah. Ketika itu beliau berpangkat Inspektor.

Pada bulan Januari 1952 beliau telah ditukarkan ke Kulai, Johor bertugas sebagai Penolong Ketua Polis Daerah berpangkat Penolong Penguasa Polis. Beliau kemudian mengikuti Kursus Siasatan Jenayah di Mill Meece, Stafford, England pada 1953. Sekembalinya beliau bertugas di Ibu Pejabat Cawangan Khas di Kuala Lumpur. Pada bulan September tahun 1957 beliau sekali lagi dihantar menjalani Kursus Pegawai Kanan selama enam bulan di Ryton-on-Dunsmore.

Pada tahun 1960 beliau telah dinaikkan pangkat kepada Superintenden dan menjadi Ketua Jabatan Cawangan Khas di Pulau Pinang. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman pada tahun 1963 dan menjawat jawatan pengarah pada tahun 1971.

Ketua Polis Negara Malaysia Pernah Ditembak Mati

Jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara telah disandang pada 31 Januari 1972 dan Pemangku Ketua Polis Negara pada 1 Februari 1973 menggantikan Tun Mohamad Salleh Ismail.

Tan Sri Abdul Rahman tidak berkhidmat lama sebagai Ketua Polis Negara. Kegembiraan mendapat Anugerah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ yang diterima daripada Yang di Pertuan Agong pada 5 Jun 1974 tidak berpanjangan.

Beliau hanya sempat mengecapi gelaran itu selama dua hari sebelum ditembak 11 das oleh dua penjenayah di Jalan Tun Perak pada 7 pagi 7 Jun 1974.

Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang dengan penuh penghormatan negara. Beliau meninggal seorang balu Puan Sri Halimah Mohamed Isa.

Tan Sri Abdul Rahman amat disenangi oleh kakitangan pelbagai peringkat. Ini ialah kerana beliau mementingkan kebajikan kakitangannya. Beliau sentiasa mengambil berat dan prihatin mengenai hal ehwal kakitangan termasuk keluarga mereka. Pemergian beliau disambut dengan linangan air mata oleh setiap anggota polis dan rakyat negara Malaysia.

Sepanjang hayatnya Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman dikurniakan Ahli Mangku Negara (1961), Johan Mangku Negara (1968), Bintang Republik Indonesia (1970), Mahkota Kelas Pertama Thailand (1970, Bintang Bhayong Karya Indonesia (1972), DPMK, SMK, PMN. Tempat beliau digantikan oleh Tun Mohd Haniff Omar, Ketua Polis Negara Keempat.

No comments:

Powered by Blogger.