Header Ads

Sifat menunjuk-nunjuk orang Melayu semakin kronik

Sifat menunjuk-nunjuk orang Melayu semakin kronik

“Lu Datuk, gua pun Datuk. Bapak lu Datuk Seri, bapak gua pun Datuk Seri”

Perbualan diatas adalah senario yang akan berlaku di Malaysia pada tahun 2050. Semua orang berjaya menjadi Datuk. Ini lah namanya Transformasi Nasional yang dicita-citakan oleh pemimpin Melayu.

Saya tidak ada masalah dengan Datuk atau Datuk Seri secara peribadi. Saya cuma ada masalah dengan pemikiran Melayu dan rakyat Malaysia yang kebulur sangat untuk bergelar Datuk.

Sewaktu saya masih bersekolah rendah di sekitar tahun 70an dan 80an, kami didendangkan dengan kisah “Pingat Hang Tuah” yang dimuatkan di dalam buku teks kami. Kisah inilah yang menjadi inspirasi kami untuk menjadi hero.

Ianya berkenaan dengan semangat keperwiraan seorang kanak-kanak yang menyelamatkan kawannya dari mati lemas lalu dianugerahkan sebuah pingat atas jasa dan keberaniannya. Ini sahajalah yang kami faham tentang nilai “pingat” yang dianugerahkan kepada seseorang. Iaitu berbuat baik,berani dan berjasa akan dianugerahkan sebuah pingat.

Sifat menunjuk-nunjuk orang Melayu semakin hari semakin kronik

Tapi zaman telah berubah. Sekarang ini telah wujud golongan yang baru berusia 29 tahun, meletakkan namanya dengan pangkat “Datuk” di Facebook. Siapakah mamat yang “berjasa” ini? Adakah beliau seorang hero Melayu yang telah menyelamatkan seorang wanita dari diperkosa oleh samseng Bangladesh dengan menewaskan kesemua dari mereka menggunakan silat pulut warisan Melayu?

Saya berasa cukup musykil dengan senario sebegini. Bukan saja sekadar nama di Faccebook, bila berjumpa pun beliau dengan bangga akan memperkenalkan dirinya sebagai Datuk. Di dalam business card pun sengaja dicetak dengan pangkat Datuk, di kad undangan perkahwinan pun dicetak dengan pangkat Datuk dan tidak lupa juga lambang Datuk terhias di depan kereta.

Akhir sekali nanti, sewaktu ajalnya sampai, di atas keranda dan di batu nesan pun akan di cetak dengan gelaran Datuk, mungkin malaikat akan terpesona dgn gelaran “Datuk” dan dengan segera akan membawa beliau ke syurga.

Dulu ada pepatah Melayu yg dengan sinis mengatakan,”lontar batu ke tengah jalan, pasti terkena kepada Proton”. Ini menunjukkan betapa banyaknya kereta Proton yang berada di atas jalan raya. Tetapi untuk zaman yang akan datang, saya mencadangkan pepatah yang baru iaitu “ludah ke kiri atau ke kanan, pasti terkena ke muka Datuk”. Ramai sungguh spesis “Datuk” di sekeliling kita.

Sejarah perhambaan orang Melayu memang panjang. Mereka dijajah oleh pelbagai bangsa bermula dari Portugis, Belanda, British dan Jepun. Feudalism masih melekat begitu kuat di minda orang Melayu. Akhirnya pada hari ini,Melayu begitu mudah tunduk menyembah dan kadang-kadang diperdaya dengan “pangkat” atau “gelaran” seseorang.

Sifat menunjuk-nunjuk orang Melayu semakin hari semakin kronik

Walaupun golongan yang terjajah minda ini kelihatannya begitu submissive dan tunduk hormat kepada golongan manusia yang bergelar “Datuk”dan pada waktu yang sama mereka juga mahukan pangkat atau gelaran tersebut supaya dapat merasakan dirinya besar, berkuasa dan berpengaruh. Pangkat atau gelaran itu dicita-citakannya di dalam hidup sebagai suatu matlamat dan perkakas untuk dilihat “tinggi” dari orang lain. Mereka melihat pangkat atau gelaran sebegitu mampu menjadikan mereka “besar” dan dilihat “berjaya”.

Lalu wujudlah budaya “kebulur nak jadi Datuk”.Bagi mereka,banyak faedahnya jika mempunyai “gelaran”. Jika menjadi “Datuk” tidak mendatangkan apa-apa faedah,s udah tentu tidak ada gunanya bersusah payah mendapatkan gelaran “Datuk”(secara sah atau tidak).

Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Pangkat “Datuk” tidak dijual di 7-eleven tapi kita semua pernah mendengar kes “membeli pangkat Datuk”. Jadi ini bukanlah rahsia lagi. Sekiranya ada demand, sudah tentu ada supply-nya.

Saya tidak ada masalah dengan Datuk yang tidak menggunakan gelaran tersebut dengan tujuan yang salah dan tidak bermoral dan saya tidak ada masalah dengan penerima gelaran Datuk kerana perkhidmatan mereka yang berkesan di dalam kerajaan ataupun sumbangan yang banyak kepada negara seperti ahli sukan ataupun seniman. Itu adalah tradisi yang sudah wujud sekian lama. Tulisan di Facebook ini tidak akan mampu mengubah tradisi tersebut.

Saya sendiri mempunyai kawan ahli perniagaan berjaya yang bergelar Datuk tetapi tidak pernah menggunakan gelaran tersebut dalam apa jua lapangan hidupnya. Beliau kekal low profile dan seolah-olah gelaran tersebut tidak membawa impak sedikitpun di dalam kehidupannya. Beliau terus berjaya dengan hasil usaha kerasnya sendiri. Gelaran Datuk itu dianugerahkan kepadanya lama selepas beliau berjaya.

Saya juga mempunyai kawan seorang tauke kepad produk yang berjaya tanpa gelaran Datuk. Produknya terkenal sehingga sekarang. Tetapi apa yang lucunya apabila berkali-kali datang ejen yang menawarkan gelaran Datuk kepadanya kononnya gelaran itu akan mengangkat martabat beliau. Walhal beliau berjaya hasil usaha kerasnya sendiri. Entah kenapa ejen menjual gelaran tersebut begitu yakin bahawa gelaran Datuk mampu membawa lebih banyak kejayaan kepada beliau. Rosak sungguh minda Melayu bangsat dan longkang ini.

Ejen-ejen dan orang-orang sebeginilah yang membawa masalah kepada masyarakat. Otak orang Melayu diprogramkan dengan  gelaran Datuk sebagai suatu perkakasan untuk “merasa hebat”, menunjuk-nunjuk, membesarkan diri dan akhirnya ada yang menggunakan “gelaran” tersebut untuk melakukan penyelewengan, jenayah dan kemunafikan.

Namun, apa yang menambahkan masalah ialah apabila gelaran Datuk itu ditonjol-tonjolkan pula oleh pemiliknya seolah-olah mereka ini sangat tinggi martabatnya dari orang lain. Wujud senario di mana layanan VVIP diberikan hanya kerana orang-orang ini mempunyai gelaran Datuk. Kadang-kadang agak lucu apabila ada sebahagian Melayu yang tiba-tiba bertukar menjadi submissive, apologetic dan penakut apabila di dalam sesuatu majlis, ada orang-orang yang bergelar Datuk atau Datuk Seri hadir. Seolah-olahnya golongan Datuk sebegini darahnya berwarna emas dan anda orang kebanyakan darahnya berwarna teh tarik seperti air longkang.

Dalam pada masyarakat Melayu terkinja-kinja menunjukkan gelaran Datuk, semakin hari semakin ramai pula umat Melayu yang bergelar Datuk ataupun Datuk Seri ditangkap kerana pelbagai kesalahan jenayah. Tetapi Melayu masih lagi suka memandang mereka sebagai golongan yang mempunyai martabat kelas A dan layak ke syurga lebih awal.

Sifat menunjuk-nunjuk orang Melayu semakin hari semakin kronik

Datuk yang membuat jenayah dengan orang biasa yang membuat jenayah sama sahaja nilainya.Tetapi yang peliknya gelaran Datuk ini begitu mudah mengaburi mata masyarakat sehingga ada yang mempercayai mereka bulat-bulat dan akhirnya ditipu beratus-ratus ribu ringgit semata-mata hanya kerana mereka bergelar Datuk. Mereka berpendapat sudah pasti orang yang bergelar Datuk ini adalah orang-orang yang berjaya dan mempunyai kredibiliti atau akauntabiliti yang tinggi.

Sahabat saya juga pernah ditipu oleh Datuk yang mengaku mengenali “orang atasan” dan mudah untuk berunding dengan pihak atasan hanya kerana beliau mempunyai gelaran “Datuk”. Inilah permainan si bangsat yang menggunakan gelaran “Datuk” untuk mematuk. Saya percaya ada beribu-ribu lagi model Datuk seperti ini yang sekarang sedang mengular di Malaysia.

Orang Melayu di atas dasar malas berfikir dan bangkrap IQ, mudah betul terpengaruh dengan seseorang hanya kerana melihat gelaran Datuk ditampal di badannya. Mereka juga terpukau dengan kereta berlambang Datuk serta gaya hidup seorang Datuk. Kadang-kadang hanya dengan kereta berlambang Datuk sahaja pun,mereka seolah-olah sudah mempunyai imuniti untuk parkir di tepi simpang dan kakitangan Majlis Perbandaran merasa seram sejuk untuk memberikan tiket salah parkir kepada mereka. Maklumlah martabat mereka sangat tinggi dan gemilang.

Sebenarnya siapakah yg membenarkan Datuk seperti ini berleluasa menonjolkan imej seorang yang superior yang akhirnya boleh menipu, menyeleweng dan melakukan pecah amanah jika bukan masyarakat kita sendiri?

Walaupun bukan semua Datuk kerjanya menipu atau menyeleweng tetapi siapakah yg bertanggungjawap mengangkat martabat “Datuk” atau orang “bergelar” ini ke suatu tahap yang seolah-olah begitu Very Very Important Person (VVIP)?

Jujurnya, ramai yang muak dengan kebanjiran Datuk yang mereka sendiri tidak faham apakah sebab seseorang itu dengan bangga sekali menayangkan namanya dengan panggilan “Datuk” atau “Datuk Seri”. Orang-orang yang hebat dan berkualiti seperti P.Ramlee, Sudirman dan Mokhtar Dahari tidak memerlukan gelaran Datuk untuk dikenali hebat. Mereka hebat kerana itulah kualiti yang ada pada diri mereka.

Orang-orang seperti ini namanya besar, diingati dan dijunjung bukan kerana namanya mempunyai gelaran, tetapi kerana mereka percaya kepada diri mereka sendiri. Tetapi orang Melayu sekarang, entah apa kehebatannya dan kejayaan yg dibuat, tetapi gelaran Datuk atau Datuk Seri itulah yang mahu ditonjolkan di depan umum secara berlebih-lebihan.

Untuk pengetahuan anda, David Beckham pernah dicadangkan utk menerima gelaran Sir (Knighthood) di UK tetapi cadangan itu telah dibantah oleh sebahagian commitee yang menganugerahkan gelaran tersebut. Bayangkan betapa ketatnya mereka mengawal selia calon-calon yang berhak mendapat gelaran Sir di sana.

Di dalam sebuah rancangan America Idol, music mogul Simon Cowell melarang peserta memanggilnya dengan gelaran “Sir”. Kata beliau, cukup dengan memanggil beliau sebagai Simon. Begitulah orang kafir mengajar cara untuk merendah diri. Tetapi di alam Melayu, lebih besar gelarannya,l ebih berseri-seri muka mereka kerana percaya gelaran itulah kualiti mereka.

Di negara kita, ada jenis Datuk yang kerjanya membuat provokasi untuk parti politik dan membuat lawak jamban dengan membawa baldi air, berus gigi dan hanya bertuala ke pejabat kerajaan. Inilah contoh Datuk yang membawa lumpur kepada sesuatu gelaran. Itu tidak termasuk lagi dengan beratus-ratus kes Datuk yang pernah ditangkap di dalam kes-kes jenayah. Ada juga Datuk yang hanya tahu mempromosikan cincin, bontot dan tubuhnya yang berlemak. Entah apa kelas Datuk sebegini.

Sifat menunjuk-nunjuk orang Melayu semakin hari semakin kronik. Di mulut mereka terucap perkataan “Subhanallah, alhamdulillah, rezeki Allah, perjuangan Islam dan lain-lain elemen ketuhanan yang kononnya mereka ini sangat Islamik. Entah bagaimana mereka boeh lupa bahawa riwayat hidup junjungan besar mereka iaitu Nabi Muhammad sangat low profile. Nabi melarang para sahabat dan hadirin berdiri jika baginda masuk ke dalam sesuatu majlis. Ini contoh mudah bagaimana Nabi mengajar ilmu merendahkan diri kepada sesama manusia.

Orang yang kebulur untuk mempunyai gelaran adalah manusia yang tidak tahu menghargai kualiti diri mereka sendiri. Tanpa gelaran Datuk ataupun Datin, mereka merasa kecil dan hina. Namun, dengan gelaran Datuk ataupun Datin, mereka merasa gah dan hebat. Inilah penjajahan minda yang kronik dan nampaknya semakin sukar dipulihkan.

Sumber: Dean Kadeer

No comments:

Powered by Blogger.