Ketumbuhan Seberat 15kg Akhirnya Berjaya Dibuang
SELEPAS hampir sedekad membawa perutnya yang membesar akibat ketumbuhan sehingga kelihatan seperti perut wanita mengandung, seorang lelaki akhirnya berjaya membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram itu.
Lelaki berusia 33 tahun dan berasal dari China itu terpaksa mengalami penderitaan itu selama 10 tahun kerana faktor kemiskinan lapor Mynewshub.
“Disebabkan keluarga kami miskin, abang saya terlepas beberapa peluang untuk merawat penyakitnya itu.
“Kami telah melawat beberapa hospital dan doktor menyatakan sukar membuang ketumbuhan itu dan kami kemudiannya diminta pulang,” kata kakak lelaki berkenaan.
Lelaki tersebut yang tidak didedahkan identitinya itu pernah mendapatkan rawatan di hospital pada 2004 apabila perutnya berasa tidak selesa dan pada 2006, pihak hospital berjaya mengesan ketumbuhan berkenaan.
Namun apabila ketumbuhan itu semakin membesar dan mula menekan organ dalamannya, doktor enggan membedahnya kerana ia bersiko tinggi.
Keadaan itu menyebabkan lelaki berkenaan beralih kepada rawatan tradisional, hinggalah baru-baru ini keluarganya telah mengumpulkan wang bagi membolehkan dia mendapatkan rawatan di sebuah hospital tentera di Chengdu.
Di hospital berkenaan, Dr. Dai Ruiwu sanggup mengambil risiko dengan melakukan pembedahan selama enam jam dan terpaksa mendapatkan bantuan pakar-pakar dari tiga jabatan klinikal hospital terbabit.
Lelaki itu kini ditempatkan di unit rawatan rapi untuk pemantauan.
No comments: