Firefly Cetus Kemarahan Akibat Promosi Tiket Murah Dengan Punggung Wanita
Promosi Tiket Murah Guna Punggung Wanita, Firefly Dikecam | KUALA LUMPUR, 12 Mac — Strategi tawaran tiket murah yang diiklankan oleh syarikat penerbangan kos rendah Firefly nampaknya tidak membuatkan pengguna teruja.
Sebaliknya potongan harga itu, sehingga 60 peratus, di punggung wanita berpakaian skirt dipertikaikan pengguna Facebook yang melawat laman iklan tersebut sejak semalam.
Iklan yang dimuatkan di laman rasmi Firefly di media sosial itu memaparkan dua bahagian belakang wanita: satunya bertulis 50%, manakala satu lagi 10% lapor Malay Mail Online.
Di sisi kanan imej punggung wanita itu, tertulis “Oooppss.. We Did It Again”.
Iklan anak syarikat Malaysia Airlines Berhad itu menawarkan potongan bagi semua penerbangan untuk semua destinasi. Tawaran itu terhad tiga hari sehingga 13 Mac ini, bagi penerbangan sehingga Mac 2017.
Grafik iklan itu, yang disertakan tulisan “kami beri lagi tambahan 10 peratus potongan untuk anda”, rata-ratanya mengundang reaksi negatif pengguna Facebook.
Heather Smeaton menyifatkan iklan itu amat seksis dan tidak menghormati wanita.
“Tawaran yang dicetak di punggung pramugari memberi tanggapan buruk tentang bagaimana pandangan anda terhadap kakitangan wanita dan wanita umumnya,” tulisnya. “Saya rasa anda perlu sediakan iklan baru”.
Eroul Ismail: “Saya marah dengan gambar ini, bukan promosi yang ditawarkan. Sila tukar gambar sebelum ia bertukar viral. Alamak!”
Zack Zainu: “Idea siapa ini? Nampak macam salah dan tidak OK.”
Lysa Abdullah: “Kenapa punggung!???”
Firefly mendapat kritikan pengguna Facebook susulan iklan promosi harga potongan yang menggunakan imej punggung wanita.
Iklan terbaru ini, yang turut dimuatkan di laman web rasmi, kali kedua Firefly menggunakan imej punggung wanita untuk menawarkan potongan harga.
Pada 7 Mac lalu, syarikat itu menawarkan diskaun 50 peratus sempena pameran pelancongan terbesar Matta di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dengan tulisan “Come grab it real fast”, atau “mari dapatkannya cepat-cepat”.
Angka itu diletakkan di punggung pramugari yang berpakaian oren, warna rasmi Firefly, membayangkan wanita itu terkena cat “50 per cent off” selepas duduk di bangku.
Iklan ini sudah mendapat reaksi-reaksi negatif pengunjung laman tersebut yang menganggapnya seksis dan tidak wajar.
Mengulas iklan-iklan tersebut, Adriene Leong menulis: “Iklan pertama mungkin keputusan yang tidak difikirkan betul-betul, tetapi sengaja menyiarkan iklan kedua, selepas mendapat maklum balas negatif, menunjukkan Firefly benar-benar fikir tidak mengapa menjadikan wanita sebagai objek, terutamanya anak kapal mereka sendiri. Mengecewakan”.
(Kemaskini: Promosi Tiket Dengan Punggung Wanita, Ini Penjelasan Firefly)
(Kemaskini: Promosi Tiket Dengan Punggung Wanita, Ini Penjelasan Firefly)
No comments: