Header Ads

“Dah masukkan mulut itik, dirobek-robeknya kita seperti ayam” - Suami

“Doktor masukkan mulut itik dalam faraj untuk periksa air ketuban pecah atau tidak” | Pengalaman iman dimasukkan wad atas alasan air ketuban pecah, bocor, tumpah? 

Kisahnya, Iman terjatuh semasa mengangkat printer nak dimasukkan dalam kereta. Tak perlu nak bangkitkan isu kenapa buat kerja atau angkat barang berat. Perempuan kalau dah biasa buat kerja, dia tak reti duduk diam-diam. 

Kisah ini dipetik menerusi Facebook Iman Raza yang kami kongsikan melalui Pixelperfext.

“Dah masukkan mulut itik, dirobek-robeknya kita seperti ayam” - Suami

Bukan nak kata diri itu hebat atau apa, cuma sudah terbiasa buat kerja sendiri. Jadi tidak perlulah mengada-ngada nak mengharapkan bantuan orang lain. Lagipun, kejadian berlaku di tempat kerja. Ingat senang nak minta tolong orang angkatkan? 

Walaupun kawan rapat sendiri ke, belum tentu kita boleh minta tolong orang. Orang lain, Iman tak tahulah. Tetapi macam Iman, Iman malu nak minta tolong orang. Tak nak orang kata kita mengada-ngada sebab mengandung. Tak nak orang fikir kita susahkan mereka. Tak nak orang bercakap bukan-bukan tentang kelemahan kita. Selagi mampu buat, Iman akan buat sendiri. 

Nak dijadikan cerita, sepanjang berjalan ke meja keluar office bawa printer, Alhamdulillah okay saja. Tak berat mana pun, cuma rasa lenguh. Jadi, kiranya mampu buat lagi. Tetapi bila sampai ke kereta, betul-betul berdiri di belakang bonet kereta, boleh pula Iman jatuh ke belakang terus terduduk. Dengan printer semua terjatuh sama. Akhirnya penutup printer patah. Ink tepi itu pecah dan tumpah lalu bermandikan warnalah jadinya. 

Itu tak apa lagi, tiba-tiba terasa urat pinggang sampai ke pangkal rahim rasa macam krem, kebas. Kaki jadi bengkak. Kalau nak diikutkan, jatuh itu simple sangat, bukannya jatuh teruk sangat pun. 

Tetapi betullah kata orang, ibu mengandung memang perlu dimanjakan. Seriously memang sakit. Jadi, bila orang semua nampak Iman jatuh dalam keadaan seperti itu, terus kelam kabut Iman dipaksa pergi ke hospital sebab mereka kata kalau jatuh sewaktu mengandung, wajib dapatkan pemeriksaan doktor. 

Office nak menghubungi ambulans, tetapi Iman kata tak apa, boleh drive sendiri. Jadi, Iman terus balik rumah dan terus menghubungi suami. 

"Abang, tolong bawa sayang pergi hospital. Sayang jatuh dan rahim rasa sakit," 

Sampai saja di rumah, suami memang sudah bersedia mahu membawa Iman ke hospital. Bila sudah berjumpa dengan doktor, biasalah akan dipas-pas ke banyak sudut. Nak ambil darahlah, nak ambil air kencinglah, periksa tekanan darahlah dan bagai. 

Selepas selesai semua itu baru jumpa H.A untuk buat imbasan bayi. Bahagian ini, Iman dah mula tak berkenan. 

Huwaaaa! H.A lelaki yang selak perut untuk scan baby. Walaupun depan suami tetapi tetap rasa tidak selesa dan tidak suka. Bukan ke di dunia ini ramai perempuan? Kenapa H.A lelaki juga yang kena buat? 

Okay, tak apa. Diam lagi, tak bising tetapi dalam hati memang tidak redha. 

Tengah-tengah scan, baby lompat dua tiga empat kali. Alhamdulillah, baby selamat dan masih okay. Masih aktif dan tetap bergerak seperti biasa. Hati sangat tenang dan yakin semuanya Okay. Alhamdulillah. 

Tiba-tiba H.A lelaki ini refer kes Iman pada doktor O & G. Katanya uri baby di bawah. Alahai, kan baru masuk 4 bulan masa tu, normallah kalau uri di bawah pun. Nanti pelahan-lahan dia akan naik ke atas. 

Okay, tak apa. Diam lagi dan ikut saja prosedur hospital sebagai tanda hormat dan akur pada proses rawatan. 

Jumplah doktor O&G. Di sini Iman memang sudah menyirap, rasa macam nak melempang orang. Doktor masukkan mulut itik dalam faraj untuk periksa air ketuban pecah atau tidak walaupun sudah diberitahu yang Iman jatuh sikit saja, memanglah panties basah. Tetapi mungkin sebab terhentak sikit. 

Okay, tak apalah, periksa saja. Dah masukkan mulut itik, dirobek-robeknya kita seperti ayam. 

"Oi! Suami aku bayar zakatlah atas kepala aku. Jangan sesuka hati boleh?" 

Then lagi menyakitkan hati, dengan bangga dan yakinnya doktor O&G ini mendakwa air ketuban dah pecah dan bocor. 

"Saya nak jumpa suami awak," kata doktor. 

Sekali lagi doktor ini buat gila, panggil suami Iman dan beritahu air ketuban dah pecah dan baby akan lemas serta 87% baby berkemungkin akan meninggal, tiada harapan. Terpaksa keluarkan baby. 

Iman apa lagi, menangis-nangislah. Biar betul? Tadi Iman tengok scan baby okay saja. Alhamdulillah cergas. Suami diam sahaja, walaupun Iman menangis, tetapi Iman cakap pada suami, 

"No, sayang yakin baby kita okay dan selamat serta sihat. Doktor ini silap," 

Yang lagi pening, Iman pun telefonlah mak. 

"Kak Long, hang pergi lari balik. Jangan duduk di hospital itu. Jangan bagi doktor buat apa-apa pun," kata mak.

Adoi, orang tengah sedih, mak buat lawak pula. Mak memang suruh Iman lari balik, pergi periksa di hospital yang lain dulu. Jangan percaya 100% cakap seorang doktor sahaja sebab doktor juga adalah manusia biasa yang kadang-kadang boleh melakukan kesilapan. 

Rupa-rupanya Iman baru tahu yang mak pernah mengalami pengalaman yang sama. Masa itu mak dah mengandung 9 bulan, mengandungkan adik nombor 3, GG Faizzi itulah. Ada ke patut doktor kata GG Faizzi dah meninggal dalam perut. 

Mak Iman takut dan terus lari dari hospital. Kemudian mak pergi periksa di hospital lain. Elok saja GG duduk bergerak-gerak, siap doktor kata dah buka jalan untuk bersalin pun. Barulah faham mengapa mak suruh lari. 

Namun, Iman tidak lari sebab tak boleh jalan. Kaki sampai ke pangkal rahimmemang rasa sakit dan kebas-kebas. Jadi Iman dimasukkan dalam wad. Doktor gila itu tiba-tiba panggil sekali lagi nak suruh Iman dan suami tandatangan borang Induce baby keluar. 

"Oii! Gila! Baby hidup lagi kot?!!!" 

Jadi, Iman dan suami memang hampir nak mengamuk. Tetapi kami bersabar lagi. 

"Kami nak tunggu doktor pakar datang. Biar dia yang sahkan. Saya tak nak dengar apa-apa dari mulut doktor sekarang," kata Iman. 

Bukan mahu bersikap kurang ajar, lagi pun Iman cakap dengan baik, tak ada marah-marah walaupun dalam hati rasa nak lempang saja. Nampak tak, betapa kuatnya hati ibu masih boleh bersabar sebab fikirkan baby yang masih aktif dalam perut ini. 

4 jam kemudian, doktor pakar datang. Sekali lagi faraj dimasukkan mulut itik. Benci dan sakit sangat! Diselok-selok dan dirobek-robek tetapi kali ini doktor pakar buat dengan pelahan-lahan. Boleh terima juga walaupun sakit. 

Hah! Lega! Doktor pakar sahkan tiada air ketuban yang pecah. 

"Siapa kata air ketuban pecah?" tanya doktor pakar itu. 

"Doktor O&G itu yang kata" kata Iman terus menunding jari ke arah doktor gila itu. 

"Awak tunjuk pada saya, apa bukti air ketuban puan ini pecah? Macam mana dengan mudahnya awak boleh kata air ketuban dia pecah?" kata doktor pakar itu pada doktor gila itu. 

Iman puas hati sebab Iman tahan sabar dari tadi. Akhirnya doktor gila itu kena marah. 

Doktor pakar itu terus keluarkan surat keluar wad segera sebab Iman dan okay. Baby Alhamdulillah okay juga. Kemudian doktor gila itu rasa bersalah dan meminta maaf pada kami sambil membuat muka kasihan. Iman okay saja. Tak ada isu sangat pun. 

Lega semuanya selamat, Iman pun keluar dari hospital itu. Tetapi sempat jugalah doktor pakar membebel pada doktor O&G itu. Tersenyum suami Iman. 7 jam tersadai di hospital, tak makan apa-apa. Keluar wad saja terus cari makanan sebab kebulur. 

Hospital mana? Doktor siapa? Biarlah rahsia. Bukan niat untuk mengaibkan mana-mana pihak, cuma sebagai peringatan agar kita berhati-hati. Jadi untuk pasangan yang baru berkahwin dan belum pernah ada pengalaman seperti Iman, anda wajib berhati-hati. 

Bayangkan kalau Iman dan suami sudah menandatangani borang untuk induce baby keluar secara paksa? Bayangkan berapa ramai lagi yang tidak tahu prosedur ini? Bayangkan berapa banyak baby yang digugurkan secara paksa tanpa rela? Allahuakbar. 

Berapa ramai suami isteri yang tidak tahu tentang perkara ini? Pengalaman ini benar-benar membuatkan kami rasa takut. Alhamdulillah bersyukur sangat pada Allah yang membuka hati kami untuk berfikir secara rasional walaupun masa itu kami panik. Alhamdulillah kami memilih jalan yang tepat. Kami berjaya menyelamatkan zuriat kami. Alhamdulillah. 

Sayang baby sangat-sangat. Mama dan papa sangat sayangkan awak dik. Sayang sangat. Ketika menulis pengalaman ini pun rasa sedih. Bayangkan kalau kami kehilangan baby akibat kecuaian doktor? Allahuakbar. 

Pesanan Iman pada semua: 

  • Jangan sesuka hati biarkan doktor buat apa-apa pada badan kita.
  • Jangan pandai-pandai menandatangan borang yang kita sendiri tidak pasti untuk apa.
  • Jangan terus beri kebenaran untuk buat sesuatu. Tunggu doktor pakar atau keluar saja dari hospital itu.
  • Jangan berputus asa bila doktor kata baby sudah tidak bernyawa. Abaikan anasir negatif. Kita bakal ibu, hati jiwa perlu kental.
  • Jangan cepat percaya apa yang doktor pertama katakan. Kalau boleh, minta doktor lain untuk periksa dulu kemudian minta pula doktor pakar untuk double check.
  • Jangan korbankan zuriat amanah dari Allah hanya kerana sikap terburu-buru kita membuat keputusan.
  • Banyakkan membaca isu-isu semasa mengandung agar kita ada sedikit ilmu untuk pertahankan.


Maaf membebel panjang lebar, cuma nak berkongsi pengalaman dan harap dapat membantu orang lain yang mempunyai masalah yang sama seperti Iman.

No comments:

Powered by Blogger.