Header Ads

Alas kaki mengandungi ayat Al Quran dirampas di Johor Bahru

Ratusan alas kaki mengandungi ayat Al Quran dirampas di Johor Bahru | Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau) kesal  perbuatan tidak bertanggungjawab sebuah premis perniagaan di Taman Teratai, di sini, yang menjual alas kaki  mengandungi ayat suci al-Quran.

Presidennya, Mohd Ridhwan Othman berkata, pihaknya turut terima aduan ramai mengenai perkara itu.

Menurutnya, setiap peniaga seharusnya lebih berhati-hati dengan produk atau barangan dijual lapor Sinar Harian.

Alas kaki mengandungi ayat Al Quran dirampas di Johor Bahru

“Kami terima maklumat tersebut apabila ia mulai disebarkan dalam aplikasi WhatsApp. Perbuatan pemilik kedai serbaneka ini harus dipandang serius dan dikenakan tindakan sesuai supaya memberi kesedaran kepada peniaga lain.

“Ia langsung tidak menjaga sensitiviti umat Islam. Sebagai masyarakat majmuk, kita sepatutnya  menghormati agama masing-masing,” katanya.

Sementara itu, berikutan perbuatan tidak menghormati sensitiviti agama oleh pemilik sebuah kedai serbaneka dan pemborong yang menjual ratusan alas kaki mengandungi ayat al-Quran, Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor telah melakukan pemantauan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, tindakan telah diambil terhadap dua premis perniagaan yang beroperasi di Taman Teratai dan Johor Jaya, di sini,  berdasarkan aduan ramai.

Menurutnya, pihaknya yakin kegiatan menjual alas kaki mengandungi ayat al-Quran itu bermula sejak kebelakangan ini.

“Ia perbuatan menghina dan menjejaskan sensitiviti umat Islam kerana alas kaki untuk dipijak.

“Pihak kami terima aduan melalui WhatsApp pada Selasa lalu dan JAJ terus membuat tinjauan pada sebelah malam untuk mengenal pasti barang tersebut. Satu operasi dilakukan bersama KPDNKK keesokannya,” katanya.

Abd Mutalip berkata, sebanyak 38 alas kaki yang dikenal pasti mengandungi ayat al-Quran dirampas di bawah Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986.

“Berdasarkan maklumat pemilik kedai terbabit, mereka beritahu menerimanya daripada pemborong di Johor Jaya.

“Operasi diteruskan dan kami mendapati terdapat 360 keping alas kaki dikenal pasti mengandungi ayat al-Quran berada di premis perniagaan di Johor Jaya,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, alas kaki tersebut dihasilkan di sebuah kilang di Melaka sebelum dijual di Johor.

No comments:

Powered by Blogger.