Header Ads

Wanita Islam dihalau keluar selepas kemukakan bantahan terhadap Donald Trump

Bantah Donald Trump, wanita Islam diusir keluar dari majlis | Seorang wanita Islam, yang berdiri membantah ucapan Donald Trump, diiring keluar dari perhimpunan calon presiden Amerika Syarikat itu daripada parti Republikan semalam.

Rose Hamid, 56, memakai tudung putih dan berbaju biru dengan tulisan di dadanya “salam, I come in peace” (salam, saya datang dengan aman).

Di penjuru kiri bajunya tertera pula perkataan “muslim” di atas pelekat kuning, lapor portal penyiaran i24 News hari ini, yang memetik sumber asal stesen terkenal CNN.

Wanita Islam dihalau keluar selepas kemukakan bantahan terhadap Donald Trump

Wanita itu dilaporkan berdiri tanpa bersuara di belakang pentas Trump berdiri apabila hartawan itu mendakwa pelarian Syria ada hubungan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

Walaupun beliau hanya diam, penyokong-penyokong Trump berdekatan Rose mula melaungkan nama ahli politik tersebut, sambil menunjukkan kepada wanita itu dan Marty Rosenbluth, lelaki yang turut berdiri membantah.

Kedua-duanya, kemudian dua yang lain, diiring keluar oleh polis seperti dimohon oleh penganjur.

Sewaktu diiring, penyokong-penyokong Trump mengeboo mereka berdua dan menjerit “keluar, keluar”, lapor CNN. Rose mendakwa beliau mendengar seorang penyokong menjerit kepadanya “anda bawa bom, anda bawa bom.”

Namun tidak semua penyokong ahli politik itu kurang ajar. Ada juga yang melayannya dengan baik.

Beberapa penyokong Trump yang berada di sekeliling Rose memegang tangannya dan berkata “maaf” sewaktu wanita itu dihalau keluar dari lokasi itu.

“Mereka yang berada di sisi saya yang sempat saya berbual kebanyakannya baik-baik,” kata Rose seperti dilaporkan. “Mereka yang tidak bertemu saya, mereka yang berjaya dipengaruhi Trump betul-betul kasar.”

Mengulas kejadian tersebut, Trump dilaporkan berkata “memang ada rasa benci terhadap saya, macam tidak percaya.”

“Kebencian itu kebencian mereka, bukan kebencian kami,” katanya, yang melonjak naik melalui siri TV “The Apprentice”.

Rose memberitahu CNN sebelum acara itu bahawa beliau tidak merancang membuat bising atau mengganggu majlis tersebut dalam bantahannya di situ.

Wanita itu berkata beliau hanya mahu memperkenalkan kepada penyokong Trump bagaimana rupa dan sikap seseorang Muslim.

“Saya fikir kebanyakan penyokong Donald Trump mungkin tidak pernah berjumpa seorang Muslim, jadi saya terfikir saya akan berikan mereka peluang bertemu seorang Islam,” Rose dipetik berkata.

No comments:

Powered by Blogger.