Lim Teong Kim Kongsi 5 Pengajaran Semasa Forum Bola Sepak Malaysia
Ramai Terkedu Selepas Mendengar 5 Pengajaran Penting yang Dikongsikan Oleh Lim Teong Kim di Forum Bola Sepak Malaysia | Rata-rata yang mendengar dan membaca terkedu dengan apa yang dikongsikan oleh Lim Teong Kim di Forum Bola Sepak Malaysia.
Artikel ini dipetik menerusi semuanyabola.com yang membawa anda menelusuri situasi sebenar pembangunan sukan bola sepak di negara kita.
“Macam mana saya nak tolong kalau mereka sendiri tak mahu ditolongi?”
Begitulah rintihan Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim kepada karenah jurulatih-jurulatih bola sepak peringkat pembangunan akar umbi di Malaysia yang ‘jahil tapi sombong’.
Bercakap dalam Forum Bolasepak Malaysia yang diadakan di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara Bukit Jalil semalam, Lim Teong Kim turut menyentuh beberapa perkara yang membelenggu bola sepak Malaysia dan apa yang PPBN lakukan untuk mengubahnya.
Berikut adalah 5 pengajaran penting daripada bekas jurulatih pembangunan akar umbi Bayern Munich itu dalam forum yang kami hadiri semalam.
1. Melatih pemain muda bukanlah untuk menang semata-mata
“Dalam PPBN kami bukannya organisasi bertujuan untuk menghasilkan pemain-pemain bagus sahaja. Tetapi yang paling penting adalah – kami mahu pemain-pemain kami menjadi manusia yang berguna bila dewasa kelak.”
Bercakap mengenai salah satu DNA PPBN iaitu players development, Lim Teong Kim memberitahu pemain bukan sahaja perlu dilatih dari aspek teknikal, taktikal dan psikomotor, malah dari segi pembangunan sahsiah juga.
Menurut beliau, rakyat Malaysia perlu menerima hakikat tak semua pemain didikannya akan menjadi pemain profesional dan tak semua pemain bintangnya mahu mengejar cita-cita menjadi pemain profesional.
“Apa yang penting adalah, mereka menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dalam apa jua pilihan karier yang mereka pilih.”
Pengarah PPBN itu berpendapat ramai jurulatih akar umbi Malaysia gagal mendidik pemain muda dari segi pembangunan sahsiah, kerana mereka hanya mementingkan kemenangan.
“Ya lah. Bila pasukannya menang, senanglah mereka naik pangkat nanti,” sindirnya sinis.
2. Orang Malaysia suka menjatuhkan diri mereka sendiri
“Masa saya main dalam skuad Malaysia dulu pun, belum main lagi dah ada pemain kita sendiri yang kata Malaysia akan kalah.”
Tiada keyakinan diri adalah salah satu masalah terbesar orang Malaysia, menurut Lim Teong Kim. Daripada zamannya bergelar pemain sehinggalah sekarang, beliau masih menemui ramai jurulatih Malaysia yang berkata:
“Orang Eropah memanglah boleh. Kita orang Malaysia, lain.”
Selain itu, jurulatih Malaysia juga perlu belajar menjadi assertive.
“Bila saya tanya jurulatih, awak boleh buat tak? Dia jawab, ‘Tengoklah macam mana’. It’s either YES or NO!”
Menurut beliau, orang Malaysia mempunyai inferiority complex (rasa terlalu merendah diri sehingga melemahkan diri sendiri). Di PPBN, mentaliti ini sedang diubah. Pemain-pemain dan jurulatih diajar untuk berani mengambil tanggungjawab dan menjadi assertive. It’s either YES or NO.
3. Dengan latihan dan teknik yang betul, kita mampu bersaing
Dalam forum tersebut, Lim Teong Kim turut mengaku malu apabila Frank Bernhardt mendedahkan ada pemain-pemain skuad bawah 23 kebangsaan yang tak cergas.
“Kita berlatih sama banyak dengan pemain Eropah. Tapi kenapa pemain kita masih tak cergas?”
“Malam tadi (Jumaat, 15 Januari 2015) saya menyaksikan perlawanan AFC Bawah 23 antara Qatar menentang Iran. Pemain-pemain mereka bermain dengan laju dan kuat.”
Kemudian, pengarah PPBN tersebut menunjukkan tahap kecergasan pemain-pemain bawah 13 tahunnya yang mampu membuatkan pemain-pemain skuad bawah 23 kebangsaan malu.
Secara puratanya, pemain-pemain bawah 13 tahun PPBN mencatatkan jarak 2,676 meter dalam ujian ketahanan (endurance) iaitu bleep test.
Paling mengagumkan adalah kebolehan salah seorang pemainnya, Hariz Mansor yang mampu mencatatkan jarak lebih 3,200 meter dalam bleep test.
Pada jarak purata 2,676 meter, pemain-pemain didikan Lim Teong Kim sudah pun mencapai level 13 dalam bleep test. Sedangkan pada peringkat umur bawah 13 tahun, mereka sepatutnya hanya dikehendaki mencapai level 6 sahaja.
“Dan ingat ya. Dalam setiap latihan kecergasan kami, pemain sentiasa melakukannya dengan bola di kaki mereka,” tambah Teong Kim.
4. Jurulatih akar umbi kita masih mengajar pemain bermain long ball
Dalam sesinya, Lim Teong Kim turut mengajak audiens menganalisis video perlawanan final Liga KPM Bawah-14 antara Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dengan Sekolah Sukan Negeri Sembilan.
Melihat kedua-dua pasukan yang masih bermain long ball secara membabi-buta seperti abang-abang mereka di skuad kebangsaan senior, audiens rata-ratanya berasa kecewa.
Pemain-pemain masih lagi tak digalakkan merancang serangan (build up attack) dari belakang, bermula dari penjaga gol. Bola banyak berlegar-legar di udara berbanding di atas lantai padang.
Pemain daripada kedua-dua pasukannya bukannya tidak pandai bermain hantaran pendek dalam triangles. Mereka boleh, tetapi ia tak berlaku secara kerap kerana jurulatih mereka tidak membimbing cara bermain dengan betul.
5. Jurulatih mesti menggalakkan kreativiti
Bercakap mengenai gaya permainan yang membosankan dalam perlawanan final Liga KPM Bawah-14 tersebut, Lim Teong Kim mengajak jurulatih akar umbi di Malaysia untuk membuat perubahan.
“Kita sebagai jurulatih tak boleh bagitahu pemain; mereka tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Kita mesti beri kebebasan kepada pemain.”
“Galakkan mereka mengambil bola dari penjaga gol. Galakkan pertahanan tengah membawa bola ke depan jika tak diberi tekanan.”
Micro-managing (memberitahu pemain; mereka tak boleh buat itu, tak boleh buat ini) adalah sesuatu yang perlu dielakkan oleh jurulatih.
“Sebagai jurulatih, kita perlu galakkan mereka mengambil tanggungjawab, mengambil inisiatif sendiri, dan menyerlahkan kreativiti ketika bermain.”
“Jika mereka membuat kesilapan, tugas jurulatih adalah memberi mereka kesedaran apa keputusan alternatif lain yang mereka boleh buat untuk mengelakkan kesilapan tersebut berulang.”
(Baca: 13 Perkara Menarik Mengenai Ola Bola)
(Baca: 13 Perkara Menarik Mengenai Ola Bola)
No comments: