Header Ads

Laluan khas untuk wanita dan jual Qu Puteh di Stadium antara syarat dikenakan Datuk Seri Vida

Datuk Seri Vida mahu laluan khas untuk wanita dan jual Qu Puteh di Stadium | Peluang menaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digunakan sebaiknya oleh Datuk Seri Hasmiza Othman bagi mempromosikan produknya, Pamoga dan Qu Puteh.

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd berkata selain Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru mahu dicat merah jambu, laluan khas wanita memasuki stadium juga akan disediakan.

Laluan khas untuk wanita dan jual Qu Puteh di Stadium antara syarat dikenakan Datuk Seri Vida

“Kenapa hendak laluan wanita? Haruslah, saya hendak pasarkan produk saya [di situ]. Kalau tidak, bila mereka hendak beli?

“Saya bertahan dekat situ. Saya panggil wanita pergi sana. Wanita tidak payah risau, lelaki [boleh] tengok bola,” katanya ketika ditemui ProjekMMO malam tadi.

Mesra juga dengan panggilan Datuk Seri Vida, usahawan 43 tahun itu berkata selain menepati kehendak syarak, laluan khas juga memberi keselesaan kepada peminat wanita hadir.

Tambahnya, peminat bola sepak wanita akan dapat dilindungi sekiranya berlaku kekecohan di stadium, sambil membangkitkan keterujaan suasana merah jambu.

“Saya kena kerja lebih daripada jangkaan dan pemikiran [ramai] sebab orang tidak terfikir saya boleh buat sesuatu dengan stadium buruk itu.

“Saya akan jadi legasi bola sepak dunia kerana tiada wanita yang terlibat dalam bidang ini. Perempuan ramai minat bola tapi mereka malu-malu, duduk di rumah saja,” katanya yang masih tebal dengan loghat Kelantan.

Jutawan kosmetik itu petang semalam berjaya memuktamadkan rundingan bersama KAFA untuk penajaan selama dua musim.

Penajaan itu tertakluk kepada dua syarat awal iaitu stadium perlu dicat merah jambu dan nama pasukan Kelantan ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warrior.

Rundingan semalam juga menyaksikan Hasmiza menambah 33 syarat lain, yang akan didedahkan pada 15 Januari ini semasa majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan KAFA.

“Apa yang orang cakap (sebagai) syarat tetapi, bagi saya, bagaimana cara saya bekerja dan saya akan mula kerjasama membangunkan bola sepak.

“Itu adalah keperluan saya bagaimana saya hendak pastikan kemenangan, kejayaan produk saya datang dalam satu pakej.

“Saya bukan hanya hendak cat saja stadium tetapi overhaul (rombak) dari segi konsep. Saya habiskan (wang) di sana untuk dapatkan faktor ‘wow’ stadium itu sendiri,” katanya sambil melayan peminat bergambar.

Datuk Seri Vida diwawancara ringkas selepas majlis resepsi penyanyi Marsha Milan Londoh di sebuah hotel terkemuka di sini.

Terkenal dengan slogannya “Qu Puteh, barulah putih” melalui program tajaannya di TV3 dan saluran Astro, usahawan wanita itu menggemparkan bola sepak tanah air dengan dua syarat awalnya.

Warna merah jambu di stadium menjadi fokus peminat bola sepak Kelantan yang berandaian ia tidak sesuai dengan sukan maskulin.

Namun, beliau berhujah pula bahawa beberapa pasukan ternama di Eropah, termasuk Real Madrid, juga menggunakan jersi merah jambu.

No comments:

Powered by Blogger.