Datuk Hattan Mahu 'Pinang' Siti Nordiana
Datuk Hattan berminat dengan Siti Nordiana | PENYANYI Datuk Hattan menyatakan minatnya terhadap pemenang program Gegar Vaganza 2, Siti Nordiana.
Hattan berminat untuk menawarkan Siti Nordiana menjayakan watak utama dalam filem terbaru yang berjudul Gadis Jolobu.
Filem tersebut merupakan hasil kerjasama antara pihak Hattan dengan Q-Plex Communication lapor Astro Awani.
“Melihatkan keadaan industri filem yang semakin pulih, perancangan untuk menghasilkan filem Gadis Jolobu bakal diteruskan pada tahun ini.
“Memandangkan filem ini inspirasinya adalah menerusi lagu Gadis Jolobu, saya mahu pelakonnya nanti boleh bertutur dengan bagus dalam dialek Negeri Sembilan.
“Saya ada bayangkan Siti Nordiana membintangi filem ini. Tetapi perkara ini belum dibincangkan secara lebih lanjut lagi,” katanya.
Tambah Hattan, Siti Nordiana memenuhi ciri-ciri pendukung watak utama filem berkenaan.
“Watak dalam filem tersebut memerlukan pelakon wanita bertudung dan boleh bercakap dialek tempatan.
“Siti Nordiana sememangnya mempunyai ciri-ciri yang dicari, jadi saya berminat untuk mengambilnya. Tidak sukar baginya untuk bertutur dalam dialek Negeri Sembilan nanti,” katanya yang ditemui usai program #JuaraParodi.
Mengulas mengenai kemenangan kumpulan Juri di minggu kesembilan #JuaraParodi, Hattan tidak menjangkakan bahawa dia dan Ajak Shiro dapat meraih markah tertinggi, menewaskan sembilan kumpulan yang lain.
“Saya tak sangka kemenangan berpihak kepada kami. Saya rasakan intipati lirik yang kami persembahkan minggu ini membuatkan kami terpilih untuk bergelar juara,” kata Hattan lagi.
#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap.
#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.
Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.
No comments: