Header Ads

Arja Lee cari wanita hartawan untuk tumpang sekaki

Arja Lee cari wanita berharta dan berkedudukan untuk menumpang kesenangannya | KISAH klip videonya yang hanya berseluar dalam sambil melakukan aksi menimbang bola yang tersebar meluas minggu lalu ternyata memberi tamparan hebat terhadap peribadi pelakon dan penyanyi, Arja Lee, 33.

Pelbagai reaksi umum dilemparkan di laman-laman sosial, termasuklah mengecam tindakannya yang dianggap sengaja mencipta gimik murahan untuk meraih publisiti secara mudah, apatah lagi di kala kariernya kini yang seakan-akan suram.

Bukan itu sahaja, disebabkan Arja bakal muncul dengan sebuah single baharu berjudul Bintang Malam, video itu turut dikatakan menjadi ‘modal’ promosi awal bagi menarik perhatian ramai.

Menepis dakwaan itu, Arja yang bertandang ke Studio Utusan sehari selepas penyebaran klip video berkenaan menjawab, seperti dimaklumkan terlebih awal, klip video itu dimuat naik ke laman Instagramnya oleh individu yang mencuri telefon bimbitnya.

Tegas Arja, dia telah berada pada satu tahap pencapaian yang selesa dalam kerjaya seninya dan tiada guna untuk membuat sesuatu tindakan yang bukan-bukan semata-mata untuk populariti lapor Utusan Online.

Arja Lee cari wanita hartawan untuk tumpang sekaki

“Pada usia begini, saya sudah cukup matang untuk membezakan antara baik dan buruk. Sekalipun dikatakan video sebegitu mampu mendatangkan populariti, tetapi ia bukanlah kemasyhuran yang mampu dibanggakan.

“Sebaliknya ia populariti yang mengundang malu serta membuka aib, bukan sahaja kepada diri saya, tetapi menconteng arang ke muka seluruh ahli keluarga. Jadi, tidak berbaloi seandainya untuk melakukan gimik murahan sebegitu,” hujahnya memberi jawapan terhadap tuduhan yang timbul.

Cemuhan orang ramai terhadap kejadian itu walaupun sudah diperjelas berlaku tanpa sengaja, diendahkan begitu sahaja, bukannya melenting tak tentu pasal. Katanya, ketenangan dan keberanian yang dimiliki disebabkan kebenaran.

“Laporan polis pun sudah dibuat atas kecuaian saya sendiri menyebabkan telefon itu hilang. Jadi, saya sudah bersedia untuk berhadapan situasi ini, sebab itulah saya tidak perlu panik atau cuak.

“Bagaimanapun, ia satu pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang,” tambahnya.

Ditanya tentang kewujudan rakaman seperti itu dalam telefonnya, Arja menjelaskan, aksi menimbang bola itu dirakamkan oleh rakannya sambil disaksikan beberapa teman lain di rumahnya.

“Ia adalah sebuah pangsapuri studio. Saya dicabar oleh rakan-rakan menimbang bola disebabkan mereka tahu saya tidak boleh bermain bola. Jadi saya melakukan untuk menyahut cabaran itu.

“Mengenai pakaian, rasanya ramai orang bujang berpakaian sebegitu ketika berada di rumah. Ia merupakan seluar pendek ketat ala boxer yang dipakai kebanyakan orang. Jadi, tidak perlu menimbulkan sesuatu isu yang jelik untuk saya jawab,” ujarnya membela diri.

Arja Lee cari wanita berharta dan berkedudukan untuk menumpang kesenangannya
Justeru, Arja berharap agar semua pihak jelas akan situasi yang terjadi dan tidak perlu menokok tambah cerita mengada-adakan perkara yang tidak ada.

Kisah Bintang Malam

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan seninya, Arja tampil dengan sebuah lagu baharu iaitu Bintang Malam yang mengangkat kisah peribadinya. Pengalamannya menjaga arwah ibu yang meninggal dunia pada 2013 akibat kanser lelangit yang dihidapinya diabadikan menerusi klip video lagu berkenaan.

Menurut anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, bintang yang dimaksudkan dalam karya sentuhan Asfan Shah dan Rafikonsep itu adalah ibunya, individu yang memberi sinar terhadap kehidupannya.

“Lagu ini begitu dekat dengan jiwa saya. Kisah seorang anak yang mengecapi kejayaan tatkala insan tersayang telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Sama seperti yang saya hadapi apabila ibu pergi tanpa melihat kejayaan saya.

“Selain itu, bagi mengelak dikatakan meniru Anuar Zain seperti yang berlaku terhadap single sebelum ini iaitu Cerita Pada Mereka, Asfan menggubah lagu ini berdasarkan identiti saya.

“Bukan itu sahaja, dia turut menyuntik elemen balada moden, lari daripada lagu kebiasaan yang dibawakan oleh Anuar. Jadi saya menjangkakan, Bintang Malam mampu merubah persepsi peminat muzik tanah air yang sebelum ini sering membandingkan vokal saya dengannya yang telah pun berada dalam liganya tersendiri.

“Bagi saya, Anuar tetap idola bukan sahaja saya, tetapi ramai lagi orang di luar sana sama ada penyanyi mahupun orang biasa,” jelasnya memperkenalkan kisah Bintang Malam.

Arja Lee cari wanita berharta dan berkedudukan untuk menumpang kesenangannya

Kahwin dua tahun lagi

Berusia sudah melebihi 30 tahun, Arja tidak terkecuali diajukan soalan tentang alam perkahwinan, sama seperti figura awam lain kerana ramai beranggapan, pada umur sebegitu, perihal kahwin sudah patut berada dalam perancangan.

Menjawab persoalan lazim itu, terus terang Arja memberitahu, dia sedang mencari pasangan yang sesuai untuk dijadikan suri di hatinya. Bukan itu sahaja, aktor filem Rembat itu mahu memastikan, bakal isteri dapat memberikan kesenangan kepadanya kelak.

“Kalau wanita boleh mencari pasangan yang bergelar Datuk terutama dari golongan ahli perniagaan untuk menjamin kebahagiaan di samping kewangan yang stabil, kenapa golongan lelaki tidak boleh mempunyai harapan yang sama?

“Sebab itulah saya mahukan seorang wanita yang berharta, ada kedudukan supaya boleh menumpang kesenangannya. Semestinya, bukan itu sahaja ciri-ciri wanita idaman saya, malah bakal isteri haruslah cukup sifat wanitanya serta solehah.

“Kalau boleh, si dia bukanlah dari kelompok selebriti atau artis. Cukuplah sekadar berkemampuan tetapi sederhana peribadinya dari kalangan orang biasa,” bicara Arja jujur memperincikan gadis pilihannya.

Ditanya bila Arja mahu kahwin? Jawabnya mudah, dua tahun lagi ketika menginjak umur 35 tahun. Pada pendapatnya, usia sebegitu amat sesuai untuk seorang lelaki fokus memikirkan akan rumah tangga yang mahu dibina.

Sekurang-kurangnya tempoh tersebut memberi peluang buatnya mencari calon sesuai seperti yang diberitahunya tadi kerana bukan mudah untuk mendapatkan wanita yang memenuhi kriteria berkenaan.

Arja Lee cari wanita berharta dan berkedudukan untuk menumpang kesenangannya

No comments:

Powered by Blogger.