Header Ads

Anggota polis boroi tiada harapan naik pangkat

Anggota polis gemuk jangan berharap dinaikkan pangkat | Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan syarat baru kepada semua anggotanya, sebelum dinaikkan pangkat dan pengesahan jawatan.

Akhbar Berita Harian melaporkan, PDRM menetapkan syarat kepada semua anggotanya untuk lulus ujian kesihatan dan Indeks Jisim Badan (BMI), susulan statistik tidak rasmi menunjukkan lebih 11,000 anggotanya mengalami obesiti lapor The Rakyat Post.

Anggota polis boroi tiada harapan naik pangkat

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi, kerana ada di kalangan anggotanya yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurutnya, cadangan yang sudah dipersetujui kepimpinan PDRM itu, akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Tetapi, kita perlu pastikan program ini betul dan tepat secara saintifik, bagi memastikan tidak berlaku ketidakadilan kepada mana-mana pihak, sehingga menjejaskan peluang kenaikan pangkat.

“Mungkin ada perkara yang akan dipertimbangkan atau pengecualian bagi mereka yang disahkan tidak boleh menjalani ujian kesihatan ditetapkan, atas faktor kesihatan,” katanya selepas menghadiri program ‘Trim n Fit’, semalam.

Zulkifli berkata, PDRM akan memulakan projek perintis ‘Trim n Fit’ selama enam bulan, bermula bulan ini yang disertai 35 petugas di Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Menurutnya, projek dengan kerjasama Kementerian Kesihatan itu merupakan program penurunan berat badan yang sistematik, selamat dan berkesan, khususnya untuk warga PDRM yang mempunyai berat badan serta ukur lilit pinggang berlebihan.

Menurutnya, seramai 250 anggota meninggal dunia ketika berkhidmat untuk PDRM, akibat pelbagai komplikasi penyakit, seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang biasanya berpunca daripada kegagalan mengawal pemakanan serta tidak bersenam.

Rekod juga menunjukkan, warga PDRM yang memohon cuti sakit, dengan jumlah hari bercuti sakit bertambah setiap tahun, sejak 2011.

Jumlah anggota PDRM yang memohon cuti sakit pada 2014 adalah yang tertinggi, iaitu 29,997 orang dengan 241,213 hari berbanding 21,626 orang dengan 151,176 hari, pada 2011.

Secara purata, seramai 561 anggota polis mengambil cuti sakit setiap hari, sepanjang lima tahun lalu.

No comments:

Powered by Blogger.