Abe Vigoda, bintang filem Godfather meninggal dunia
Bintang filem Godfather, Abe Vigoda meninggal dunia di usia 94 tahun | Bintang filem Godfather, Abe Vigoda menghembuskan nafas terakhir, semalam, pada usia 94 tahun akibat sakit tua. Berita pemergian pelakon filem klasik berasal dari New York, Amerika Syarikat (AS) itu dikongsi pengurusnya, Sid Craig.
Difahamkan, mendiang meninggal dunia di kediaman anak perempuannya, Carol Vigoda Fuchs di Woodland Park, New Jersey. “Ketika itu, anaknya mahu mengambil air. Apabila kembali ke katil bapanya, dia sudah tiada.
“Sebelum ini, mendiang tiada tanda sakit, cuma lemah disebabkan faktor usia,” kata Craig yang bekerja dengannya sejak berdekad lalu. Vigoda atau nama sebenarnya, Abraham Charles Abe Vigoda aktif di pentas teater pada usia remaja sebelum beraksi dalam arena perdana sejak tahun 1947 lapor Berita Harian.
Watak sebagai ketua gangster senior, Salvatore Tessio dalam filem The Godfather pada tahun 1972 dan detektif Phil dalam rancangan televisyen (TV), Barney Miller meninggalkan impak dalam kerjaya Vigoda. Vigoda yang dilahirkan di Brooklyn pada 24 Februari 1921 adalah anak tukang jahit yang juga pendatang Russia.
Abe Vigoda meninggalkan seorang anak, tiga cucu dan seorang cicit. Sepanjang kerjayanya, Vigoda membintangi lebih 40 filem termasuk Vasectomy: A Delicate Matter, Look Who’s Talking, Fist of Honor dan Batman: Mask of the Phantasm. Selain itu, filem Underworld, Witness to the Mob, Frankie the Squirrel dan The Unknown Trilogy.
No comments: