Waspada 'bengkak susu' untuk ibu breastfeed
Ibu breastfeed hati-hati jangkitan elak bengkak susu | Bengkak susu atau mastitis antara komplikasi yang tidak diingini berlaku kepada ibu yang menyusukan bayi. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang proses menyusukan bayi. Secara umumnya 10 peratus ibu yang menyusu badan mengalami komplikasi ini.
Kebanyakannya bermula beberapa minggu selepas bersalin terutamanya bulan pertama dan kedua ataupun selepas bayi mula tumbuh gigi memetik Harian Metro.
Ia disebabkan gangguan pengaliran susu daripada sel buah dada ke puting susu menyebabkan berlaku radang seterusnya membengkak.
Selain itu ia boleh disebabkah jangkitan kuman berpunca daripada luka atau rekahan kulit pada payudara ibu yang menyusu.
Dalam kebanyakan punca radang, kesilapan berlaku pada teknik penyusuan menyebabkan aliran susu untuk keluar terganggu.
Kedudukan mulut bayi dan juga puting susu payudara yang salah juga menyebabkan sakit ketika menyusu bayi seterusnya merencatkan rembesan hormon penghasilan susu selain mengganggu pergerakan susu untuk keluar.
Kurangnya kekerapan bayi menyusu juga menyebabkan susu terkumpul dalam payudara menyebabkan radang ini berlaku. Selain itu, penggunaan baju dalam yang ketat dan tidak sesuai mengganggu pergerakan susu dan ada kalanya menyebabkan luka atau rekahan pada payudara.
Rekahan atau luka payudara akibat kecederaan, penggunaan baju dalam yang tidak sesuai atau luka akibat digigit oleh bayi yang menyusu boleh menyebabkan jangkitan kulit dan kawasan berhampiran memasuki tisu payudara seterusnya menyebabkan jangkitan berlaku.
Gangguan pergerakan susu dan juga jangkitan ini menyebabkan berlakunya bengkak susu badan atau mastitis. Pada mulanya, pesakit akan mengalami sakit pada bahagian tertentu di payudara.
Ia disertai dengan demam juga sengal badan. Selepas itu warna kemerahan mula kelihatan pada bahagian tertentu serta aliran susu semakin berkurangan. Bayi yang menyusu kerap tidak puas disebabkan oleh jumlah susu yang berkurangan.
Tiada ujian khas untuk mengesahkan radang atau bengkak susu badan ini. Simptom dan pemeriksaan klinikal sudah mencukupi. Akan tetapi, ujian darah boleh dijalankan untuk menentukan rawatan sama ada pesakit memerlukan pengambilan antibiotik atau tidak.
Ini kerana tidak semua radang disebabkan oleh jangkitan kuman. Ujian ultrasound payudara dapat membantu sama ada pembentukan nanah sudah berlaku ataupun tidak akibat komplikasi radang itu.
Bagi peringkat awal radang, pesakit digalakkan terus menyusu pada payudara. Ini bertujuan mengelakkan susu tidak berkumpul menjadi lebih banyak dan menyebabkan aliran susu terganggu.
Tuam dengan kain atau botol suam pada bahagian yang sakit supaya laluan saluran yang semakin tersumbat dapat terbuka semula seterusnya memudahkan aliran susu. Lakukan terutamanya sebelum menyusukan bayi.
Jika teramat sakit, pesakit boleh menggunakan objek sejuk untuk diletakkan pada kawasan berkenaan. Ini dapat meredakan kesakitan. Pengambilan ubat penahan sakit adalah terhad untuk ibu yang menyusukan bayi.
Jika terdapat rekahan pada payudara atau luka terutamanya pada puting, hendaklah segera berjumpa doktor untuk diberikan krim pencegah kuman. Ini mengelakkan kuman dari pada memasuki lapisan kulit yang menyebabkan jangkitan.
Untuk mengelakkan radang ini berlaku, ibu yang menyusu hendaklah mempelajari teknik penyusuan badan yang betul terutamanya bagi mereka yang kali pertama mempunyai cahaya mata. Gunakan pam susu jika di pejabat atau ketika bayi tidak menyusu terutamanya bagi mereka yang mempunyai bayi bermasalah yang tidak dapat menyusu badan.
Ini dapat mengelakkan susu daripada berkumpul dan menyebabkan saluran tersumbat. Komplikasi tidak diingini yang boleh berlaku ialah pembentukan nanah. Ini terutamanya bagi mastitis yang disebabkan rekahan atau kulit payudara terluka.
Sakit menjadi semakin teruk, payudara membengkak dan pesakit mula mengalami demam panas. Rawatan pemberian suntikan antibiotik perlu dimulakan segera. Adakalanya pembedahan perlu dilakukan untuk mengeluarkan nanah itu.
No comments: