"Saman Je La Lori Bauksit Tu!" - Baca Apa Jawapan JPJ
Jawapan Mengejutkan Pegawai JPJ Apabila Disuruh Saman Lori Bauksit | Rabu lepas (25 November 2015) lebih kurang jam 4.15 petang, saya bertekak dengan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana saya melalui lorong yang salah ke Pelabuhan Kuantan.
Pegawai JPJ itu menahan saya dan menyuruh berpatah balik serta menggunakan jalan ‘bypass’ Sungai Ular ke Gebeng untuk menuju ke Pelabuhan. Tetapi saya memberitahunya yang saya perlu cepat sampai ke kapal untuk bekerja.
Pegawai terbabit yang keretanya turut tersangkut di antara lori-lori bauksit dua lorong menuju ke Pelabuhan juga berkata,
“Saya pun tersangkut dan tak tahu bila boleh lepas jem,” katanya.
Jadi, saya mencadangkan agar dia mengeluarkan saman terhadap lori-lori bauksit yang beratur di laluan sebelah kanan.
“Kau nak aku berjalan 1/2 kilometer untuk saman lori-lori bauksit kerana menghalang lalu lintas?” soalnya.
“Itu tugas encik,” balas saya.
Setahu saya, bila kenderaan berat menghalang lalu lintas, JPJ boleh mengeluarkan saman terhadap kenderaan tersebut, apatah lagi lori-lori itu yang membawa muatan berlebihan dan tidak menjaga kebersihan.
“Kalau nak lalu laluan yang salah, terpulanglah. Tetapi kalau terima surat saman, jangan marah,” katanya.
Saya pun ucapkan terima kasih dan mengharapkan surat saman yang dikatakan itu sampai cepat.
Kesimpulannya di sini, jika mereka sudah banyak terhutang budi dengan tauke lori, kakitangan kerajaan dah tak tahu nak buat apa dah dengan undang-undang. Saya cadangkan mereka yang terlibat letak jawatan sahaja.
Catatan ini dibuat sebab takut terlupa dan saya masih menunggu surat saman dari pihak JPJ. Senang saya nak jelaskan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pengarah JPJ itu sendiri. – Abdul Aziz
No comments: