Inilah 2 beradik yang disembelih ibu kandung sendiri
Gambar 2 beradik dipercayai disembelih ibu kandung tersebar | SUNGAI PETANI 1 Dis. - Suasana yang biasanya tenang di Taman Wira Indah di sini digemparkan dengan pembunuhan kejam dua beradik lelaki dipercayai disembelih ibu kandung sendiri di salah sebuah rumah di Lorong 11, dalam kawasan perumahan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Tee Cong Ming, 5 dan Tee Cong Shern, 3, ditemukan berlumuran darah oleh datuk mereka yang baru pulang dari berniaga di Pekan Lama dekat sini memetik Utusan.
“Ketika kejadian, hanya tiga beranak itu berada di rumah tersebut sementara datuk dan nenek mangsa keluar berniaga. Suami suspek pula berada di Singapura kerana bekerja sebagai tukang masak di sana dan pulang sebulan sekali.
“Sebaik sahaja pulang, datuk mangsa yang berusia sekitar 60-an terkejut mendapati kedua-dua cucunya terlentang secara bersebelahan dalam salah sebuah bilik di tingkat bawah rumah. Ibunya yang berusia 35 tahun pula hanya duduk di sebelah kedua-dua mayat itu dalam keadaan resah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nashir, siasatan polis mendapati kedua-dua mayat tersebut mempunyai kesan luka di leher.
Selain itu ujarnya, mayat Cong Shern juga didapati mempunyai kesan kelar di pergelangan tangan.
“Ibu mangsa turut mempunyai kesan kelar di pergelangan tangannya. Dia kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
“Bagi membantu siasatan, dua bilah pisau sayur dipercayai digunakan dalam kejadian itu dirampas. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.
Ditanya mengenai dakwaan di media sosial kononnya wanita itu mempunyai masalah mental, Mohd. Nashir menjelaskan, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan dan belum menemukan sebarang bukti bagi mengesahkan perkara itu.
Sementara itu, salah seorang jiran keluarga tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Eng memberitahu, dia langsung tidak perasan mengenai apa yang berlaku sehinggalah melihat ramai anggota polis tiba di rumah berkenaan.
“Sebelum berkahwin, suspek pernah bekerja di kedai elektrik anak saya sebagai kerani. Dia dan keluarga dikenali sebagai orang yang baik namun dia kurang bergaul dengan masyarakat.
“Kali terakhir kami bertemu ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan jiran Februari lalu. Dia nampak sangat sayangkan anak-anaknya dan disebabkan itu, saya cukup hairan dan terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.
No comments: