Aib ketika diberkas, kain tuala tertanggal
Tuala tertanggal, berbogel ketika ditahan | JERTIH - Seorang penagih dadah diberkas dalam keadaan berbogel selepas kain tuala dipakai tercabut ketika terjatuh semasa cuba melarikan diri daripada polis yang menyerbu rumahnya dekat Kampung Raja, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, suspek berusia 35 tahun yang memakai tuala terlebih dahulu terjun keluar melalui jendela rumahnya dalam Ops Waran Tangkap Narkotik.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Kamsani Hasan berkata, lelaki tersebut ditahan dalam operasi membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Besut Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Setiu dan Dungun membabitkan beberapa kawasan di daerah ini memetik Sinar Harian.
Sebahagian daripada 33 suspek yang diberkas dalam operasi besar-besaran di sekitar Besut bermula tengah malam kelmarin sehingga awal pagi semalam. |
Menurutnya, operasi yang turut dibantu anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Besut telah menahan suspek tersebut yang diburu kerana mempunyai waran tangkap berkait kesalahan dadah jenis heroin.
“Suspek merupakan salah seorang daripada 33 suspek yang berjaya diberkas dalam operasi tersebut yang membabitkan umur antara 19 hingga 55 tahun. Daripada keseluruhan yang diberkas seramai 26 orang yang mempunyai waran tangkap sementara bakinya membabitkan kes lain,” katanya,
Katanya, dalam operasi itu turut berjaya merampas satu botol plastik berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dan empat biji pil dipercayai dadah jenis methamphertamine (pil kuda).
Menurutnya, operasi tersebut bagi memburu suspek yang mempunyai waran tangkap kerana ingkar dengan perintah mahkamah berkait kesalahan dadah sejak tahun 2008 hingga 2014.
“Kebanyakan mereka diberkas dalam serbuan yang dilakukan di rumah-rumah dan tepi jalan sementara tangkapan paling ramai adalah membabitkan dalam operasi di kawasan perumahan di Jertih dan Kuala Besut.
“Kita akan sentiasa melakukan operasi memburu dan mengesan mereka yang terlibat dengan waran tangkap dan sehubungan itu kita meminta menyerah diri sebelum tindakan diambil,” katanya.
Kamsani berkata, hasil serbuan itu, terdapat juga suspek cuba melarikan diri setelah polis mengetuk pintu rumah beberapa kali dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, namun berjaya ditahan.
No comments: