Perkembangan Terkini Bayi Panda Malaysia
Bayi panda kurang meragam, selera makan bertambah | Selera makan panda gergasi Liang Liang semakin bertambah selepas lima hari melahirkan anak, setelah selera makannya menurun secara mendadak selepas bersalin.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, pagi ini sahaja, Liang Liang memakan 2.5 kilogram rebung dan dua batang lobak merah berbanding hanya dua kilogram rebung sebelum ini memetik Bernama.
“Peningkatan selera Liang Liang disebabkan anaknya yang kurang meragam, kerana apabila anaknya meragam atau mengeluarkan bunyi, Liang Liang akan kelihatan gelisah dan segera memberi perhatian kepada bayinya sehingga enggan makan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Zoo Negara di sini hari ini.
Rosly berkata, walaupun jumlah peningkatan pengambilan makanan oleh Liang Liang adalah kecil, namun bagi pihak Zoo Negara ia merupakan satu pencapaian yang besar dan sangat positif.
Pihaknya menjangkakan selera makan Liang Liang akan pulih seperti sedia kala dalam masa 10 hari, katanya.
Beliau berkata, sebelum bersalin, jumlah pengambilan makanan Liang Liang adalah 24 hingga 25 kilogram makanan sehari, ini termasuk rebung dan lobak merah.
Sejak melahirkan anak keduanya pada 18 Ogos lepas di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), selera makanannya menurun dengan mendadak.
“Untuk memastikan Liang Liang terus kekal bertenaga, ia sentiasa diberikan glukos dan air garam,” katanya.
Rosly berkata sifat keibuan Liang Liang yang menebal menyebabkan pasukan veterinar perlu menyuap makanan kepadanya kerana tangannya tidak pernah lepas daripada memegang bayinya yang belum diberi nama itu.
Bayi panda tersebut merupakan anak kedua Liang Liang, dan anak sulungnya, seekor panda jantan bernama Gong Gong, dilahirkan dua tahun lepas di China pada tarikh yang sama dengan kelahiran anak keduanya di Zoo Negara iaitu pada 18 Ogos, katanya.
Sementara itu, Rosly turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menganjurkan apa sahaja pertandingan berkaitan bayi panda yang baru lahir itu, termasuk pemberian nama, tanpa kelulusan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Zoo Negara.
“Hal ini dibangkitkan kerana saya dimaklumkan ada stesen radio yang menganjurkan pertandingan pemberian nama kepada bayi panda itu, walhal kami (pihak zoo) tidak mengetahui apa-apa,” katanya.
Beliau berkata Zoo Negara akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar terlebih dahulu mengenai pemberian nama bayi panda berkenaan.
Rosly juga berkata pihak Zoo Negara tidak mengenakan sebarang peningkatan harga tiket lawatan untuk panda, walaupun bayi panda itu dijangka akan dipamerkan selepas berusia dua bulan.
“Walaupun bilangan panda yang bakal dipamerkan nanti bertambah kepada tiga ekor namun pihak Zoo Negara tidak bercadang untuk menaikkan harga tiket. Harga untuk melihat panda kekal pada harga RM22 untuk dewasa dan RM11 (kanak-kanak),” katanya.
Beliau berkata Liang Liang dan pasangannya Xing Xing akan menyambut hari jadi mereka yang kesembilan esok. Bagaimanapun satu acara sambutan hari jadi secara besar-besaran akan dibuat pada 3 Sept dengan perasmian akan disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga penaung Zoo Negara.
Bagi meraikan hari jadi mereka, pihak Zoo Negara akan memberikan tiket masuk percuma ke Zoo Negara, kepada pengunjung yang lahir pada 23 Ogos dan 3 September namun ini tidak termasuk lawatan ke GPCC.
Pasangan panda gergasi itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi tiba di Malaysia pada 24 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.
No comments: