Low Yat 2 khusus untuk peniaga Melayu
Ismail Sabri cadang buka Low Yat 2 di Bangunan MARA khusus untuk peniaga Melayu | Low Yat 2, sebuah pusat jualan dan borong alat telekomunikasi yang menyamai fungsi Plaza Low Yat di Bukit Bintang, dicadangkan dibuka di Jalan Raja Laut.
Pembukaan pusat itu akan dapat memenuhi keperluan orang ramai yang sebelum ini hanya tertumpu di Plaza Low Yat, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memetik Astro Awani.
Mengikut pelan yang dicadangkan Ismail Sabri, Low Yat 2 akan ditempatkan di Tingkat 3 Bangunan MARA (Majlis Amanah Rakyat) selepas kawasan itu diubahsuai dan direka khas untuk menyediakan ruang niaga bagi pembekal alat telekomunikasi.
“Kita akan bangunkan tingkat tersebut secepat mungkin dan kita beri ruang kepada peniaga Melayu khususnya.
“Kita akan jadikan ia sebagai ‘Low Yat 2‘ dan kita akan kumpulkan sekali seberapa banyak mungkin pembekal besar di bangunan ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MARA di ibu negara pada Selasa.
Pengumuman cadangan Low Yat 2 itu dibuat Ismail Sabri selepas melakukan lawatan ringkas di bangunan MARA sempena majlis tersebut.
“Kita sedar dengan kewujudan tempat-tempat lain yang turut menyediakan perkhidmatan sama, seperti di Bukit Bintang dan bangunan Pertama Kompleks yang bersebelahan bangunan MARA, namun kita percaya orang ramai selepas ini akan memiliki lebih banyak pilihan sekiranya melakukan urusniaga terus bersama pembekal.
“Kita sasarkan golongan peniaga seratus peratus dari kalangan Melayu. Belum ada lagi pembekal dari kalangan Melayu, oleh kerana itu kita beri kelonggaran,” katanya.
Pada majlis tersebut, Ismail Sabri turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari sekitar ibu negara.
No comments: