Jawapan Siti Nurhaliza Apabila Ditanya Isu politik
Siti Nurhaliza Ditanya Soal Politik | Penyanyi jelita yang manis berbaju rona ungu itu hanya tersenyum apabila disapa Malaysiakini.
“Nak tanya pasal politik?” kata Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Walaupun bergelar seorang penyanyi dan sibuk menguruskan empayar produk mekap SimplySiti dan fesyen Kallista, beliau dilihat sering mengikuti perkembangan politik semasa dan terbukti apabila beberapa kali memuatnaik kenyataan dalam akaun Instagramnya secara langsung atau tidak.
Memang niat Malaysiakini mahu mendapatkan reaksi Siti Nurhaliza mengenai perkembangan semasa, tetapi beliau agak keberatan.
“Tentang politik, biar saja saya yang tahu,” katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas menikmati jamuan makan malam Dinner In the Sky di Menara Kuala Lumpur semalam.
Namun di sebalik keengganannya, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Cinta Padamu itu masih sudi memberi pesanan sebagai rakyat yang bertanggungjawab.
Berpendirian teguh
“Sebagai rakyat Malaysia, saya harap negara kita akan terus aman dan sentiasa berada di mata dunia,” katanya.
Sebelum ini, anak kelahiran Lipis, Pahang itu pernah menyatakan pendiriannya yang menyokong teguh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hingga komen itu mencecah ribuan like
“Love you Tun (Mahathir) dan sentiasa bersama Tun….
“Sejarah kepimpinan Tun mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan membangunkan Malaysia hingga terkenal di mata Dunia patut kita hargai serta contohi.
“Tiada yang muda Kalau tidak kerana orang tua,” katanya.
Siti Nurhaliza juga sering berkongsi kata-kata hikmah yang diperoleh daripada Tun Mahathir dalam akaun perkongsian Instagram beliau yang mempunyai pengikut hingga 1.7 juta.
“Saya setuju dengan kata-kata Tun M.
“Setiap hari kita perbaiki diri. Belajarlah dari kesilapan dan bukan mengulangi kesilapan,” tulisnya selepas memuat naik imej Dr Mahathir itu.
Ia turut dimuatnaik berserta hashtag #katakatahikmah, #ingatanuntukdirisendiri dan #Salamjumaat, sebagai sekadar perkongsian buat peminatnya.
Ekoran perkembangan terkini politik yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilucutkan jawatan, ramai juga yang tertanya-tanya sama ada Siti Nurhaliza akan membuat sebarang reaksi.
Bagaimanapun setakat ini beliau belum membuat sebarang kenyataan.
No comments: