Header Ads

Ibu pengsan 8 kali terkejut kematian anak sulung

Kisah hiba seorang ibu pengsan 8 kali terkejut pemergian anak sulung | Hasrat seorang pemuda untuk menamatkan zaman bujang bersama tunang pada awal tahun hadapan tidak kesampaian apabila dia maut selepas terlibat dalam nahas di Durian Mentangau, di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohd Faizzuddin Muhammad Daud, 24, meninggal dunia akibat kecederaan organ dalaman ketika mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Ibunya, Rafiah Mustaffa, 41, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu berperangai pelik sejak belakangan ini tetapi dia tidak terfikir ia adalah petanda tidak baik memetik Sinar Harian.

Ibu pengsan 8 kali terkejut kematian anak sulung

Menurutnya, Faizzuddin yang mesra dipanggil Along juga sempat bertemu dengan tunangnya, Nur Syuhada Athirah Kadir, 18, di Felda Mengkawang sehari sebelum kemalangan.

“Memang dia berkelakuan agak pelik, tapi saya tak fikir perkara bukan-bukan kerana dia jenis yang suka berseloroh dan berjenaka.

“Beberapa hari sebelum ni, dia belek album majlis pertunangannya yang berlangsung Mac lalu dan beritahu saya untuk masukkan gambar ke dalam frame (bingkai),” katanya.

Bagaimanapun kata Rafiah, dia memberitahu kepada arwah agar tidak perlu berbuat demikian kerana album sudah ditempah khas.

“Tunangnya beritahu saya ketika datang menziarah, arwah berseloroh kata mereka dah tak sempat nak langsungkan perkahwinan.

“Arwah juga banyak bergurau tentang perkara pelik termasuk mengatakan dia sudah tak mahu makan nasi selepas ini,” katanya.

Rafiah berkata, arwah jarang bertemu dengan tunangnya kerana sibuk dengan urusan kerja.

“Tapi dia seolah-olah tahu akan pergi buat selamanya dan memanfaatkan cuti yang ada untuk bertemu buah hatinya buat kali terakhir,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Burung Baru, di sini, semalam.

‘Mak…abah…sakit’

Kata Rafiah, dia tidak sangka akan kehilangan anak kesayangannya itu kerana ketika tiba di hospital, Faizzuddin masih memanggil namanya.

“Kami terima panggilan kira-kira jam 2 petang mengatakan Along kemalangan dan bergegas ke hospital.

“Setibanya di sana dia masih panggil ‘mak…abah…sakit’ dan mengadu sukar bernafas,” katanya sebak.

Tambahnya, selepas nenek dan tok imam selesai membaca dua kali Yasin, Faizzuddin menghembuskan nafas kira-kira jam 5.59 petang.

“Saya masih terkejut dengan pemergiannya dan pengsan sebaik sahaja dia meninggal dunia… hingga selesai majlis pengebumiannya saya dah pengsan tujuh hingga lapan kali.

“Tengok album dan gambar majlis pertunangannya pun saya boleh pengsan kerana terlalu sedih.

“Dia memang terlalu rapat dengan saya dan kali terakhir saya bertemunya ialah di rumah sebelum dia keluar bekerja pada hari kejadian serta tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

JARANG NAIK KENDERAAN SAMA

Bapa Faizzuddin, Muhammad Daud Abu Bakar, 48, berkata, dia dan anaknya itu bekerja di tempat yang sama di kawasan perindustrian Kerteh.

“Walaupun kerja tempat sama saya dengannya jarang naik kenderaan sama kerana waktu pulang berbeza dan biasanya saya pulang lebih awal.

“Pada pagi sebelum kejadian saya bertemunya di tempat kerja, tapi tiada sebarang perubahan atau perkara pelik ditunjukkan,” katanya yang memberitahu pulang awal ke rumah pada hari kejadian.

Katanya, disebabkan telefon bimbitnya diletakkan di dalam bilik dia tidak sedar ada panggilan masuk.

“Apabila tersedar saya tengok ada sembilan panggilan masuk (misscall) dan panggilan seterusnya dijawab memaklumkan anak saya kemalangan di Durian Mentangau,” katanya.

SUKA CAKAP HAL-HAL KEMATIAN

Bapa saudaranya, Mohd Rosli Mustaffa, 35, turut menyedari perubahan anak saudaranya itu sejak belakangan ini yang suka bercakap tentang hal-hal kematian.

“Bukan saya saja yang sedar, tapi kawan-kawannya juga beritahu Faizzuddin banyak bercakap tentang perkara pelik.

“Baru-baru ini ada kenduri kampung, biasanya dia tak akan terlibat secara langsung… tapi kali ini dia bersemangat potong dan cincang daging serta berkata itu adalah pertolongan kali terakhirnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakob ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, kereta Perodua kancil yang dipandu mangsa terbabas melanggar pengadang jalan di kawasan susur keluar Durian Mentangau ke Ladang Limau.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum terbabas ke kanan jalan. Empat anggota JPAM Dungun turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu termasuk membawa mangsa ke Hospital.

Bagaimanapun, kecederaan parah yang dialami akibat kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia beberapa jam kemudian.

No comments:

Powered by Blogger.