"Suami Isteri Tolong Elak Panggilan Saya-Awak, I-You Pada Pasangan" – Ustazah Norhafizah
Panggilan kepada pasangan juga memainkan peranan. Menurut saudari Farhana Muhammad , dia tertarik dengan salah satu daripada kuliah Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa berkaitan dengan nada suara isteri kepada suami.
Ustazah menceritakan bahawa beliau pernah ditegur oleh suaminya berkenaan nada suara, bukannya pemilihan kata ketika bertutur dengan suami. Kadang ustazah tidak perasan jika ustazah tertinggikan suara kepada ustaz. Mungkin ada ketikanya tidak bersetuju dengan ustaz, mengeluarkan pendapat, mungkin ada nada suara yang sedikit tinggi ketika berbicara dengan ustaz.
Kata ustaz, ibunya bukanlah seorang yang belajar tinggi. Bukanlah seorang ustazah, tiada master dan phd jauh sama sekali. Seingat suami ustazah, ibunya tidak pernah sekali mengangkat suara di depan ayahnya.
Kata ustazah, ustazah terasa amat malu mendengar kata-kata ustaz dan lebih berhati-hati apabila berbicara dengan suami. Ustazah terbayang bagaimana ibu mertuanya menyantuni ayah mertuanya. Dengan manis tutur katanya, lemah-lembut bicaranya apabila berbicara dengan suami.
Jadi, adakah langsung tidak boleh marah sama suami? Tidak. Jika langsung tidak marah itu malaikat namanya. Kata ustazah, ada juga ketikanya marah, tetapi berhati-hati supaya suara ustazah tidak tinggi daripada suara suaminya. Itu baharu berkaitan dengan nada, berkaitan dengan intonasi. Nada dan intonasi ketika bercakap dengan suami amatlah penting. Itu belum lagi termasuk dengan pemilihan kata ketika berbicara dengan suami.
Cuba muhasabah diri, sepanjang perkahwinan bagaimana kita bercakap dengan suami? Pernahkah kita terjerit kepada suami dari tingkat atas ke tingkat bawah?
“Awak kalau nak makan bang, makanlah sudah ada di bawah tudung saji!” Kata si isteri sambil menjerit kepada suami di tingkat bawah.
Ada orang, suka sangat bercakap dengan tinggi nada suara. Apabila ditegur lantas menjawab, “Saya bukannya marah, memang macam ni keturunan saya cakap begini.”
Kata ustazah, janganlah menyalahkan keturunan apabila kita bercakap dengan nada yang tinggi. Kita boleh berubah.
Takkan kita mahu gunakan alasan seperti ini, “Nak buat macam mana, memang adik-beradik saya bercakap begini, macam nak berkelahi.” Takkan kita mahu bersandar pada hujah ini sedangkan kita ada potensi untuk memperbaiki diri kita?
Apabila bercakap dengan suami, kena ada satu intonasi suara apabila berbicara dengan suami. Intonasi yang lembut bicaranya. Sepertimana sabda Rasulullah shallahu alaihi wasallam, ‘Apabila kamu pandang isteri kamu, bergaul dengan isteri kamu, bermuamalah dengan isteri kamu, dia akan membahagiakan kamu.’
Penampilan diri, suara, tutur kata, perilaku, bahasa tubuh, akhlaq, cara berfikir. Semua ini datang dalam satu pakej menenangkan suami iaitu isteri solehah.
Sambung ustazah lagi, pada awalnya beliau cukup str3ss memikirkan bagaimana lagi perlu bercakap lembut dengan suami? Tetapi ustazah berfikir secara positif. ‘Ya Allah, sampai begini sekali Engkau mendidik aku istiqamah supaya kelembutan menjadi sikapku.’
Allah memberikan sesuatu kepada orang yang lembut, sesuatu yang Allah tidak berikan kepada orang yang bersikap kasar. Ada sesuatu Allah hanya berikan kepada orang yang bersikap lembut.
Salah satu cara bersifat santun ialah, memanggil orang dengan gelaran yang dia gemar, lebih-lebih lagi kepada pasangan kita.
Jika bercakap dengan suami, perlu ada panggilan yang menyenangkan. Begitu juga panggilan buat isteri, suami perlulah memanggil dengan panggilan yang menyenangkan hati si isteri.
Ustazah meyakini bahawa panggilan kepada pasangan dalam rumah tangga amatlah penting dan memberi kesan yang besar. Kerana.. semakin lama sesebuah perkahwinan, semakin sukar untuk menyuburkan kasih sayang.
Elakkan panggilan saya-awak, I-you dan gantikanlah dengan panggilan yang lebih lunak dan mesra didengar oleh suami kepada isteri ataupun oleh isteri kepada suami. Maka, panggillah pasangan dengan panggilan yang menyenangkan. Dan bertuturlah dengan pasangan dengan tona suara yang sedap didengar oleh pasangan.
Sumber : beritasteady
No comments: