'Sedar-sedar saya sudah ada di Padang Rengas' - Ustazah Nur Farhana
"Saya hanya ingat saya banyak habiskan masa berjalan kaki, menumpang tidur di surau, minum pula hanya mineral dan makan roti yang dibeli menggunakan duit dalam poket."
Pengalaman itu diceritakan, Nur Farhana Ibrahim, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Genting, Balik Pulau yang ditemui selamat selepas dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
Wanita berusia 27 tahun itu muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bertujuan mendapatkan perlindungan sekitar jam 3.15 petang, hari ini.
Guru itu kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarga sebaik suaminya yang tiba di balai berkenaan pada jam 5.30 petang membuat pengesahan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisoner Razali Ibrahim berkata, guru itu mula sedar keadaan dirinya ketika berada di sebuah lokasi di Padang Rengas yang kemudiannya menaiki bas dan turun di hadapan Hospital Kuala Kangsar.
"Sebaik turun di hadapan hospital, barulah guru ini perasan di mana kedudukan sebenar dia berada, dia berjalan kaki sejauh hampir satu kilometer dari hospital sebelum menemui balai polis, kemungkinan wanita ini mencari tempat selamat untuk berlindung," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, guru Pendidikan Islam itu tidak dapat mengingati dengan jelas apa yang berlaku termasuk individu yang ditemui sepanjang empat hari lalu.
"Dia keluar dari sekolah dengan hanya membawa beg mengandungi senaskah al-Quran, dia mengatakan itulah yang menjadi pelindung dirinya sepanjang empat hari ini.
"Setelah banyak habiskan masa berjalan kaki, dia tidur di surau-surau dengan mendapat kebenaran daripada jawatankuasa, tetapi dia tak dapat nak menamakan surau yang didudukinya itu," katanya.
Razali berkata, walaupun nampak keletihan ketika ditemui, wanita itu berada dalam keadaan normal tanpa sebarang kecederaan.
"Wajahnya juga ceria dan dia mengatakan tidak sabar mahu berjumpa suami dan anaknya," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan diambil, polis tidak mengesyaki wujud sebarang unsur jenayah dalam kes kehilangan itu.
Katanya, wanita itu berkemungkinan rasa tertekan kerana tinggal berjauhan dengan suaminya yang bekerja sebagai peniaga di Kedah.
"Siasatan selanjutnya dilakukan IPD Barat Daya memandangkan laporan dibuat di sana, setakat ini tidak melibatkan apa-apa jenayah," katanya.
Guru berkenaan disedari hilang selepas gagal dihubungi sekitar 4.30 petang, Isnin lalu, pada Isnin lalu.
Pihak sekolah turut memaklumkan wanita tersebut mengajar seperti biasa pada Isnin, namun tidak hadir pada Selasa.
Barangan peribadinya seperti beg duit, kunci kereta dan alat tulis milik guru itu didapati masih berada di atas meja di bilik guru selain keretanya ditemui berada di luar pagar sekolah.
Sumber : sinar harian
No comments: