‘Dulu hina, ejek saya dengan kakak, Tapi Sekarang…’ – Syukor
Ejekan dan penghinaan berubah menjadi sanjungan selepas gambarnya bersama sekawan kerbau tular di media sosial dan mendapat reaksi positif segenap lapisan masyarakat.
Bagi pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini, Muhammad Syukor Khamis, 14, gambar dirakam jurufoto Mohd Nazri Sulaiman yang menerima anugerah antarabangsa itu mengubah hidupnya dalam sekelip mata.
Ada yang menggelarkannya Kampung Boy, Budak Koboi malah Budak Kerbau.
Menurut anak bongsu daripada lapan beradik dari Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu ini, kisahnya itu turut mendapat perhatian pihak sekolah.
“Hari itu mereka ada mengejek kakak saya, orang gelar ‘Ain Kuba’ (Ain Kerbau). Lepas itu pun saya pun (diejek) di sekolah. Sekarang ini mereka baharu sedar, baharu mengaku itu kampung mereka sendiri. Padahal hari itu tidak mengaku pun kampung sendiri,” katanya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.
Sementara itu, ayah Muhammad Syukor, Khamis Jusoh, 63, mengakui terpaksa melayani kunjungan dan panggilan telefon dari pelbagai pihak selepas gambar keakraban anaknya dengan kerbau menjadi perhatian netizen seluruh dunia.
“(Panggilan) Tidak ada masalah bagi saya, tetapi sumbangan itu diperlukan, tak akan nak duduk berselut begini. Tengok tempatnya mana sesuai untuk pelancong duduk.
“Maklumlah kalau orang luar negara macam ‘Mat Saleh’ datang takkan mereka hendak duduk dalam lumpur macam ini. Adalah tempat mana untuk dia selesa sikitlah duduk. Soal masuk dalam kandang tu dah biasa dah kerbau main lumpurkan, itu saya rasa tidak ada masalah,” katanya.
Menurut Khamis lagi, selain kerbau, dia juga memelihara lembu, kambing dan angsa yang diwarisi dari arwah bapanya dan berharap anak-anaknya akan meneruskan usaha berkenaan.
Gambar Syukur bersama sekawan kerbau itu menjadi tular di media sosial setelah menjadi juara peringkat Asia selain turut tersenarai 20 gambar terbaik dunia.
Malah, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut melahirkan kekagumannya dengan kejayaan itu dan menyifatkan hubungan Syukur dengan kerbau itu hasil perasaan halus masing-masing yang dijelmakan dengan perbuatan kebersamaan seolah-olah zahir sebuah rahmah antara manusiawi dan haiyawani.
Sumber : cempedakcheese.com
No comments: