Header Ads

'Dia menangis ketika tidurkan anak kami' - Suami Cikgu Farhana yang masih hilang akhirnya dedah apa yang berlaku...



BALIK PULAU- Suami kepada guru Pendidikan Islam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Genting yang hilang masuk hari ketiga hari ini menceritakan keadaan isterinya, Nur Farhana Ibrahim, 27, sehari sebelum kejadian.

Muhammad Naim Mahayadin berkata, isterinya didapati menangis sendirian ketika menidurkan anak tunggal mereka pada malam 13 Januari di rumah mereka di Alor Setar, Kedah.

“Saya ada tanya dia kenapa menangis tetapi dia hanya jawab tak ada apa-apa. Saya pun tak syak apa-apa lalu terus tidur,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, pada keesokan harinya, dia menghantar isterinya ke tol Alor Setar bagi ditumpangkan oleh rakannya untuk ke tol Sungai Dua, Butterworth.

“Isteri saya menumpang rakannya untuk ke tempat kerja dan meletakkan keretanya di tol Sungai Dua. Selepas menghantarnya di tol Alor Setar pada Isnin, jam 5.45 pagi, saya ada hubunginya pada sebelah petang namun panggilan tidak dijawab.

“Pada jam 6.30 petang, saya pulang ke rumah dan mendapati telefon bimbit isteri saya ada di atas almari di bilik. Saya kemudiannya menghubungi rakan isteri saya dan mereka juga tidak tahu di mana dia berada.

“Mereka hanya nampak kereta isteri yang diletakkan di luar kawasan sekolah namun mengesahkan dia hadir pada hari tersebut. Berdasarkan keterangan guru besar, kali terakhir isteri saya dilihat adalah pada 14 Januari lalu kira-kira jam 9.40 pagi di kantin sekolah,” katanya.



Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah dengan isterinya dan mengesyaki kehilangan isterinya itu ada hubung kait dengan kegagalan permohonan pertukaran tempat kerja.

“Saya bersama guru dan guru besar mencarinya di sekitar sekolah pada Selasa namun gagal. Saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan isteri saya.

“Saya mengesyaki kehilangan isteri saya ini ada hubung kait dengan kegagalan permohonannya untuk menukar tempat kerja berikutan dia sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Alor Setar,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika ditemui berkata, sepasukan polis dengan bantuan Unit K9 telah diarahkan untuk melancarkan operasi mencari guru tersebut.

Menurutnya, operasi dilakukan di sekitar sekolah dan kampung berdekatan.

“Operasi dihentikan jam 6 petang tadi (semalam) berikutan tiada petunjuk mengenai mangsa di kawasan sekitar.

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau ternampak mangsa agar menghubungi balai polis terdekat atau Balai Polis Balik Pulau,” katanya.

Nur Farhana didiagnosis mengalami simptom tekanan serius ('reactive depression with marked anxiety symptoms') sejak beberapa tahun lalu.

Dia dipercayai mengalami tekanan apabila perlu berulang alik dari Alor Setar ke sekolahnya setiap hari.

Pada 4 Januari, berita kehilanganan seorang guru agama Madrasah Moden Maidam Besut, dekat Jertih sejak petang Isnin turut menggemparkan penduduk sekitar,

No comments:

Powered by Blogger.