'Itu gambar saya, bukan Muhammad Adib, Pihak Yang Tiada Ditempat Kejadian Tolong Jangan Buat Tuduhan Melulu'
“ADAKAH pihak yang membuat dakwaan itu mempunyai bukti mengatakan Muhammad Adib dilanggar ? Lapan anggota kita ada di situ, mereka tahu apa yang terjadi,” tegas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid.
Beliau menyifatkan dakwaan mengatakan anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera akibat dilanggar jentera bomba adalah tidak berasas sama sekali.
“Pihak yang tiada di tempat kejadian tidak seharusnya membuat tuduhan yang tidak betul.
“Ingin saya tegaskan di sini, perkara ini masih dalam siasatan polis dan saya tidak mahu mengganggu siasatan, pihak bomba beri kerjasama yang baik tetapi kita jangan buat kenyataan yang tidak berasas ibarat menegakkan benang yang basah.
“Anggota bomba yang didakwa dilanggar dalam video yang tular itu bukan Muhammad Adib, malah anggota itu, Mohd Hazim Mohd Rahimi ada bersama kita sekarang dan beliau langsung tidak dilanggar jentera kita,” katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur, hari ini.
Hamdan berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dengan segera.
Mengulas mengenai keadaan Muhammad Adib beliau berkata pihaknya percaya IJN mencuba sedaya upaya untuk meningkatkan kestabilan anggota bomba itu ke peringkat lebih baik.
Sementara itu, Mohd Hazim menafikan anggota bomba yang didakwa dilanggar jentera adalah Muhammad Adib.
“Saya yang berada di belakang jentera berkenaan untuk mengeluarkan peralatan memadam kebakaran memandangkan saya berada paling dekat untuk mengeluarkannya.
“Kemudian saya ternampak perusuh datang ke arah saya dan saya terus melarikan diri ke arah EMRS dan disalah tafsir sebagai Adib, saya tidak dilanggar, saya panik dan tidak ingat apa-apa selepas itu,” katanya.
Terdahulu, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang cedera dalam insiden rusuhan berhadapan kuil berkenaan awal pagi semalam adalah disebabkan kemalangan.
Setiausaha Badan Bertindak Kuil, V K Regu mendakwa, kejadian dipercayai berlaku apabila jentera Bomba mengundurkan kenderaannya dengan laju sebelum sekumpulan individu menjerit memberitahu ada seseorang di belakang.
Sumber : Harian Metro
No comments: