Header Ads

Harga Barang Dijangka Naik Kerana Gaji Minimum Rakyat Yang Ditetapkan Oleh Kerajaan



Harga barang di pasaran dijangka meningkat susulan peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,050 di seluruh negara menjelang 1 Januari tahun depan, yang diumumkan kerajaan, semalam.

Setiausaha Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata kenaikan kadar itu akan meningkatkan kos operasi syarikat, dan pertambahan itu terpaksa disalurkan kepada pengguna.

Katanya, keadaan diburukkan dengan keputusan kerajaan untuk tidak memberikan subsidi kepada majikan dalam peningkatan kadar gaji minimum itu, sekali gus bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).



“MEF amat kecewa dengan keputusan kerajaan untuk tidak memberikan subsidi pada kenaikan gaji minimum dan ini tidak menepati apa yang dinyatakan dalam manifesto PH.

“Semakan gaji minimum ini juga berlaku dalam keadaan syarikat swasta masih menunggu bayaran balik Cukai barang dan Perkhidmatan (GST) hampir RM20 bilion dan cukai terlebih bayar lebih RM16 bilion.

“Awal tahun ini, majikan juga sudah dibebankan dengan bayaran levi pekerja asing yang sudah meningkatkan kos operasi sehingga 15 peratus pada setiap bulan.

“Jika ditambah dengan kenaikan kadar gaji minimum ini, majikan akan menanggung beban peningkatan kos operasi sebanyak 30 peratus untuk Sabah dan Sarawak serta 20 peratus di Semenanjung pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.



Semalam, kerajaan mengumumkan menetapkan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari depan, serta diseragamkan di seluruh negara.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk tidak memberikan sebarang subsidi kepada majikan kerana kekangan kewangan semasa negara.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH menerusi manifestonya berjanji menanggung 50 peratus daripada kenaikan kadar gaji minimum bagi mengurangkan beban majikan.

Shamsuddin mendakwa, keputusan kerajaan menyeragamkan gaji minimum di seluruh negara juga bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang memperuntukkan kadar yang disyorkan perlu mengikut sektor, jenis pekerjaan dan kawasan wilayah serta beberapa perkara lain berhubung gaji minimum.

“Menyamaratakan kadar ini juga tidak mengikut prinsip semakan gaji minima yang berlandaskan produktiviti dan keupayaan majikan untuk membayar gaji.



“Kajian yang dibuat menunjukkan produktiviti di Sabah, Sarawak dan Labuan serta keupayaan majikan adalah kurang berbanding di Semenanjung, sekali gus penyeragaman dan kenaikan ini memberi bebanan besar kepada majikan di negeri berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai kenaikan kadar gaji minimum sebanyak RM50 berbanding RM1,000 bagi Semenanjung, Shamsuddin berkata ia tidak menunjukkan kos sebenar yang ditanggung majikan.

“Setiap kenaikan sebanyak RM1, majikan perlu tanggung sehingga hampir RM2. Bererti, jika RM50, majikan perlu tanggung kira-kira RM100, mengambil kira bayaran kerja lebih masa, cuti am dan sebagainya,” katanya.

Sumber artikel : https://sehinggithq.blogspot.com/2018/09/harga-barang-dijangka-naik-kerana-gaji.html

No comments:

Powered by Blogger.