Kesalahan bapa saya yang paling besar ialah buat yang terbaik untuk negara - Nooryana Najwa
Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa sekali lagi mempertahankan bapanya susulan kritikan yang dilemparkan oleh beberapa pimpinan Umno.
Nooryana Najwa berkata, bapanya telah berusaha sehabis daya untuk berkhidmat kepada rakyat dan menjadikan hidup mereka lebih baik.
"Satu-satunya perkara yang dia bersalah ialah cuba melakukan yang terbaik untuk negaranya," katanya dalam satu ulasan di Malaysiakini.
Anak perempuan Najib mendakwa kemunculan bapanya di Sungai Kandis adalah "cerminan ... perkara yang paling beliau suka iaitu menghabiskan masa bersama rakyat.
"Apabila seseorang meminta pertolongan, selagi permintaan itu munasabah, beliau (Najib) tidak pernah meletakkan keperluannya terlebih dahulu. Ia akan mengutamakan orang lain yang meminta pertolongan.
"Beliau tidak pernah meninggalkan rakyat, sahabat, dan rakan-rakan ketika saat-saat genting, mungkin kini mereka berbuat demikian kepadanya. Sepanjang hidupnya, bapa saya berusaha sedaya-upaya berbakti kepada rakyat,” katanya.
Dia menambah, kehadiran bapanya membantu calon BN di PRK Sungai Kandis, sebagai membalas jasa Datuk Lokman Noor Adam kerana menyatakan sokongan pada malam bapanya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Lokman adalah salah seorang yang berdiri di luar bangunan SPRM, ketika bapa saya ditahan. Sebagai anak, saya bimbang dengan keselamatannya dan lega apabila ada sekelompok penyokong yang bersamanya dalam peperangan membersihkan namanya.
“Jadi kehadiran bapa saya ketika siri kempen Sungai Kandis adalah sebagai mengenang budi Lokman, tiada apa yang salah,” katanya.
Minggu lalu, Najib menerima tamparan apabila beliau dikritik beberapa pimpinan Umno malah ada yang amnganggapnay sebagai ‘beban’ dan punca persepsi negatif pengundi PRK Sungai Kandis.
sumber artikel : sinar harian
No comments: