Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis: Ramai Rakyat Yang Ternyata Kecewa Dengan Kerajaan Baharu Pakatan Harapan
Di tengah-tengah hiruk-pikuk Klang-Shah Alam wujud perkampungan kecil bernama Sungai Kandis, kampung Melayu dengan kira-kira 500 buah rumah yang dikelilingi kawasan hijau.
Semalam, kampung ini yang biasanya tenang penuh dengan aktiviti kerana dikunjungi seorang VVIP – bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib ke sana untuk berkempen bagi Datuk Lokman Noor Adam, calon BN dalam PRK Sungai Kandis.
Ketua Penerangan Umno Kota Raja Salina Mohd Ali berkata, ini kali pertama Najib ke kampung itu dan pihaknya hanya menerima makluman daripada ibu pejabat di saat akhir.
“Kami hanya diberitahu sehari sebelumnya. Saya terlalu sibuk membuat persediaan program sehingga tersilap baca mesej.
“Arahan adalah untuk pakai ‘baju pilihan raya’, tapi saya tertukar dengan ‘baju raya’,” katanya berseloroh, sambil menunjukkan baju kurung merah terangnya.
Tugasnya adalah untuk menyelaraskan lawatan Najib – diiringi Lokman – ke sepuluh buah rumah.
Program itu jauh berbeza dengan himpunan besar dan ucapan berapi-api yang menjadi ciri utama kempen Najib pada PRU ke-14.
‘Jangan lupa undi BN’
Sepuluh rumah itu dipilih aktivis Umno dan kesemua penghuninya kelihatan teruja menyambut kunjungan Najib, walaupun kunjungan itu tidak lama.
Cara Najib adalah untuk berbual-bual kosong dan memerhati keadaan sekeliling sebelum menyatakan kata-kata penutup: “Jangan lupa undi BN”.
Walaupun kekalahan mengejut BN pada PRU ke-14 sering dikaitkan dengan Najib, Umno Kota Raja yakin kehadirannya di Kampung Sungai Kandis akan banyak membantu kempen Lokman, termasuk di kalangan penyokong PAS.
Namun kebanyakan orang tempatan yang ditemui Malaysiakini tidak berkongsi pandangan yang sama.
Seorang kerani Pushpa Rani, 27, singgah sebentar untuk melihat Najib dan para pengiringnya dalam perjalanan ke tempat kerja. Dia berkata Najib kini kelihatan berbeza, berbanding ketika memegang kuasa.
“Dia nampak normal tetapi agak dingin,” kata pengundi DUN Sungai Kandis itu kepada Malaysiakini. Dia tidak yakin imej sederhana baru yang ditampilkan Najib akan mampu menarik pengundi.
“Penduduk kampung ini kebanyakannya penyokong HARAPAN atau PAS.”
Pushpa berkata anak Najib, Nooryana Najwa dan suaminya, Daniyar Kesikbayez turut menyertai program itu.
Katanya itu, melihat saja pasangan itu mengembalikan ingatannya kepada majlis perkahwinan gilang-gemilang mereka pada 2015.
Laluan sukar untuk BN
Ketika programnya itu, Najib melintasi sebuah kedai runcit. Pemiliknya Ahmad Rafi’e Sulaiman mengajak Najib, Rooryana dan Daniyar untuk mengambil gambar.
“Saya terkejut sebab sebelum ini hanya tengok di TV…Ini kali pertama dia berada di sini, tetapi tidak lagi sebagai perdana menteri.
“Lebih bagis jika dia singgah ketika masih jadi perdana menteri,” kata lelaki berusia 33 tahun itu.
Rafi’e (gambar) berkata sudah berniaga selama lima tahun dan yakin kebanyakan penduduk kampung itu adalah penyokong HARAPAN, memberi kesukaran untuk BN menembusinya.
Salina yang bertanggungjawab terhadap kempen BN di media sosial sedar BN menyertai PRK kali ini sebagai ‘underdog‘.
“Matlamat kami mengurangkan majoriti. Sukar untuk menang,” katanya.
Katanya lagi, jurukempen BN memberitahu sikap dan bahasa tubuh pengundi sudah berubah.
“Dulu mereka akan sambut anda. Saya rapat dengan mereka dan sudah banyak tahun berkerja bersama mereka, tetapi sekarang keadaan berbeza.
“Mereka akan pergi begitu saja kerana sudah menjadi penyokong HARAPAN,” katanya lagi.
Aktivis veteran Umno Musalis Abdullah (gambar), 60, lebih optimis dan yakin kunci kejayaan adalah untuk memberi kesedaran kepada pengundi muda berhubung sumbangan Umno dan BN terhadap kampung dan DUN itu.
Katanya, presiden Umno sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad – yang kini memimpin HARAPAN – pernah berkunjung ke Kampung Sungai Kandis dan parti itu memainkan peranan besar dalam membangunkan kawasan itu.
“Saya menghargai lawatan Najib. (Umno) ada sejarah yang panjang di kampung ini tetapi orang muda tidak tahu. Umno sudah banyak membantu orang kampung, memberi bantuan kepada sekolah tahfiz dan masjid.
“Kita boleh menang. Bilangan undi untuk kita akan naik semula,” katanya lagi.
No comments: