Header Ads

Kisah Bagaimana Al-Quran Ditulis Sehingga Terhasilnya Mashaf Utsmani Pada Hari Ini

Al Quranul Karim mula diturunkan pada bulan Ramadhan sebagaimana yang disebut dalam AlQuran:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang haq dan bathil)”

[Surah Al-Baqarah : Ayat 185]

Ulama’ sepakat bahawa Al-Quran di turunkan (Nuzulul Quran) dalam bulan Ramadhan, namun berbeza pendapat mengenai tarikhnya.

Pendapat yang paling terkenal ialah pada tanggal 17 Ramadhan bersamaan 10 Ogos 610 M di Gua Hira’, ketika Rasulullah S.AW berusia 40 tahun.

Ada juga pendapat mengatakan pada 24 Ramadhan, seperti yang telah diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hambal dalam sebuah hadits dari Wa’ilah bin al Aq :

“… Dan Al-Qur’an diturunkan pada tanggal 24 Ramadhan.”

Ayat Al Quran yang pertama (5 ayat pertama) diturunkan ialah Iqra’ dan ayat-ayat ini adalah sebahagian dari Surah Al ‘Alaq.

Rasulullah adalah ‘Sayyidul Huffaz’ kerana baginda adalah orang pertama yang menghafal Al Quran.

Kemudian Nabi Muhammad S.AW mengajar pula Al Quran kepada sahabat-sahabat untuk mereka menghafalnya.

Kisah Bagaimana Al-Quran Ditulis Sehingga Terhasilnya Mashaf Utsmani Pada Hari Ini

3 PERINGKAT PENULISAN AL QURAN

Penulisan Al Quran bolehlah dibahagikan kepada 3 peringkat.

Peringkat pertama ditulis pada zaman Rasulullah S.AW, kedua di zaman Abu Bakar As Siddiq dan ketiga di zaman Utsman bin Affan.

Walaupun Rasulullah S.AW dan ramai para sahabat menghafal Al Quran, baginda juga menyuruh agar mereka menulisnya. Baginda ada beberapa orang sahabat penulis wahyu di antaranya Zaid bin Tsabit, Ubai bin Kaab, Muaz bin Jabal, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali r.a.

Langkah tersebut merupakan langkah yang sangat bijak kerana selepas Rasulullah wafat, Al Quran telah pun terkumpul di dada-dada sahabat dan ditulis juga pada pelepah tamar, kulit binatang, tulang unta, batu nipis dan sebagainya.

Bagaimana Al-Quran Ditulis Sehingga Terhasilnya Mashaf Utsmani Pada Hari Ini
Gambar Al-Quran dari zaman ke zaman.

Bagaimana Al-Quran Ditulis Sehingga Terhasilnya Mashaf Utsmani Pada Hari Ini
Gambar Al-Quran dari zaman ke zaman.

ZAMAN KHALIFAH ABU BAKAR AS SIDDIQ R.A.

Apabila Saidina Abu Bakar r.a di lantik menjadi khalifah, beliau berhadapan dengan berbagai-bagai masalah yang mengancam aturan pemerintahannya. Ada yang murtad, enggan membayar zakat, kemunculan nabi-nabi palsu dan sebagainya.

Dalam peperangan Al Yamamah misalnya iaitu perang memerangi orang murtad, ramai sahabat yang telah syahid. 70 orang darinya adalah sahabat-sahabat besar yang menghafal Al Quran.

Saidina Umar bin Khatthab kemudian menyatakan kekhuatiran beliau berhubung pemergian para huffaz Al Quran itu kepada Syaidina Abu Bakar.

Sekiranya tidak diambil apa-apa tindakan, beliau bimbang akan risiko ‘kehilangan’ AlQuran dari orang-orang Islam.

Umar r.a. kemudiannya telah pun mencadangkan kepada Abu Bakar r.a. agar menghimpunkan ayat-ayat Al Quran.

Pada mulanya Saidina Abu Bakar agak keberatan kerana ianya tidak pernah disuruh oleh Rasulullah SAW semasa baginda masih hidup. Abu Bakar bimbang jika ianya akan menjadi satu bid’ah dan tidak disukai oleh Rasulullah SAW.

Walaubagaimana pun, para sahabat terutamanya sahabat-sahabat besar adalah mereka-mereka yang sudah dijanjikan syurga. Dan Nabi Muhammad SAW sendiri menyuruh agar mengikuti mereka sepertimana dalam hadith yang bermaksud:

“Maka barangsiapa yang menjumpai itu (perpecahan umat) hendaklah dia berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang menunjukkan kepada kebaikan dan mendapat petunjuk, gigitlah Sunnah ini dengan gigi geraham.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Setelah memikirkan masa depan umat Islam khasnya yang bukan berbangsa Arab, Abu Bakar r.a. akhirnya bersetuju untuk melaksanakan cadangan Saidina Umar r.a. itu yakni menghimpunkan Al Quran.

Saidina Abu Bakar r.a. telah kemudiannya menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri dari sahabat-sahabat yang baik seta bagus hafalannya. Mereka diketuai oleh Zaid bin Tsabit r.a.

Di antara sebab Zaid dipilih menjadi ketua ialah kerana dia sangat kuat daya ingatan dan banyak sekali menghabiskan masa berdamping bersama Rasulullah SAW.

Setiap tahun, Rasulullah SAW akan bertadarrus Al Quran bersama malaikat Jibril a.s pada bulan Ramadhan. Dan Zaid adalah satu-satunya sahabat yang bersama-sama Rasulullah dan Jibril a.s bertadarus di bulan Ramadhan yang terakhir ketika hayat Rasulullah SAW.

Zaid bin Tsabit r.a. mengatakan bahawa Abu Bakar r.a. telah mengatakan kepadaku:

“Engkau laki-laki yang masih muda dan cerdas. Kami sekali-kali tidak pernah memberikan tuduhan atas dirimu, dan engkau telah menulis wahyu untuk Rasulullah SAW sehingga engkau selalu mengikuti Al-Quran, maka kumpulkanlah ia.”

Kemudian,Zaid dan para sahabat mula mengumpulkan semua lembaran Al Quran yang tertulis pada batu, kayu, tulang dan sebagainya itu.

Mereka menulisnya semula di dalam satu naskhah yang disebut ‘Suhuf’.

Setiap ayat yang hendak ditulis akan dipastikan terlebih dahulu kesahihannya dengan bersaksikan 2 orang yang pernah menghafaznya di hadapan Rasulullah SAW.

Begitu teliti sekali prosesnya sehinggakan pengambilan ayat terakhir Surat At-Taubah misalnya pernah terhenti kerana tidak dapat di hadirkan 2 orang saksi. Hanya kesaksian dari seorang sahabat yang bernama Khuzaimah sahaja diperolehi ketika itu.

Para sahabat tidak berani menghimpun ayat terakhir tersebut sehinggalah terbukti bahawa Rasulullah telah berpegang pada kesaksian Khuzaimah di mana kesaksian Khuzaimah sebanding dengan kesaksian dua orang Muslim yang adil.

Setelah berjaya mengatasi kesulitan tersebut, keseluruhan ayat Al Quran akhirnya berjaya dihimpun dan ditulis dalam Suhuf. Ianya telah di serahkan kepada Abu Bakar r.a.

Setelah Abu Bakar wafat, ia kemudiannya disimpan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a.

Selepas kewafatan Umar, Suhuf itu disimpan pula oleh anaknya Hafsah.

Inilah naskhah Al Quran yang pertama kali ditulis dan dikumpulkan.

ZAMAN KHALIFAH UTSMAN BIN AFFAN R.A.

Al Quran di tulis buat kali ketiga di zaman pemerintahan Saidina Utsman bin Affan r.a. Berbanding dengan yang terdahulu, sebab yang membawa kepada penulisan semula ketika ini adalah berbeza dengan sebab-sebab yang berlaku sebelum itu.

Pada waktu ini, Islam telah dapat berkembang luas hingga ke Afrika di barat dan Azerbaijan di timur.

Penganut-penganut Islam bertaburan di merata-rata pelusuk dunia.

Masing-masing membaca Al Quran mengikut bacaan sahabat yang mengajar mereka. Dengan demikian bacaan antara satu tempat dengan tempat yang lain adalah berbeza-beza.

Misalnya ada yang membaca mengikut bacaan Ubai bin Kaab, ada yang mengikut bacaan Ibnu Mas’ud dan ada pula yang mengikut bacaan Abu Musa Al-Ashari. Perbezaan ketara bacaan itu adalah dari segi lahjah (dialek / loghat).

Masing-masing mendakwa bacaan mereka sahaja yang betul dan menyalahkan yang lain. Sehingga kadang-kadang mencetuskan persengketaan dan kafir-mengkafir sesama Muslim berpunca daripada bacaan Al Quran yang berbeza sebutannya.

Seorang sahabat bernama Hudzaifah bin Al-Yaman r.a. yang baru pulang dari Syam setelah menyertai perang pembukaan Armenia dan Azerbaijan, memberitahu masalah ini kepada Saidina Utsman r.a.

Beliau telah mencadangkan agar satu tindakan diambil bagi menyelamatkan umat Islam. Jika tidak, adalah dikhuatiri umat Islam akan menjadi seperti umat Yahudi dan Nasrani terdahulu yang bersengketa dan berpecah berpunca dari kitab mereka sendiri.

Tindakan yang dimaksudkan ialah menulis semula Al Quran dalam beberapa naskhah dan dihantar ke semua negeri Islam. Semua orang Islam mesti membaca mengikut apa yang ditulis itu supaya seragam.

Susulan itu, Saidina Utsman r.a. telah meminta Suhuf yang ditulis di zaman Saidina Abu Bakar r.a. yang ada dalam simpanan Hafsah binti Umar.

Zaid bin Tsabit sekali lagi dilantik menjadi ketua jawatankuasa pengumpulan Al Quran peringkat ketiga ini. Jawatankuasa ini turut disertai oleh Abdullah bin Zubair, Said bin Al ‘Ash dan Abdul Rahman bin Al-Harith.

Mereka diminta oleh Utsman supaya menulis semula ayat Al Quran dengan tujuan untuk diseragamkan. Jika ada perbezaan di antara mereka tentang gaya bahasanya, mereka hendaklah menulis mengikut dialek Arab Quraisy. Ini kerana Al Quran diturunkan dalam Bahasa Arab Quraisy.

Pada ketika itu, Al Quran ditulis tanpa ada titik dan baris. Ini adalah untuk meraikan “Bacaan Tujuh” di mana ianya boleh dibaca dengan Tujuh Qiraat (yakni bacaan).

Menurut As-Sayuti, penulisan ini dibuat dalam 5 naskhah dan kemudiannya dihantar ke bandar-bandar besar Islam seperti Kufah, Basrah, Mekah, Yaman dan lain-lain.

Naskhah-naskhah yang pernah ditulis oleh sahabat sendiri di masa hayat Rasulullah atau selepasnya, telah diperintahkan agar dilupuskan kesemuanya bagi mengelakkan sebarang bentuk kekeliruan.

Seluruh umat Islam telah diminta membaca Al Quran mengikut seperti yang terdapat dalam mushaf ini agar seragam.

Inilah Al Quran yang disebut sebagai ‘Mushaf Utsmani’, iaitu yang ada pada kita sekarang.

Cuma mushaf sekarang ini ditulis dengan khat yang lebih baik dan di letakkan titik serta baris dengan lebih sempurna; dengan tujuan untuk memudahkan bacaan orang-orang bukan Arab.

AL QURAN DENGAN BARIS DAN TITIK

Usaha meletakkan titik dan baris itu telah dilakukan sejak akhir zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Thalib lagi. Ia diusahakan oleh Abu Al-Aswad Al-Duali dan telah disempurnakan pada kurun pertama hijrah.

Adapun pembubuhan tanda syakal berupa fathah, dhammah dan kasrah dengan titik yang warna tintanya berbeza dengan warna tinta yang terdapat pada mushaf di masa Khalifah Muawiyah. Ianya bertujuan untuk menghindari kesalahan bacaan bagi para pembaca Al Quran yang kurang memahami tata bahasa Arab.

Pada era Kerajaan Abbasiyah, tanda syakal ini telah digantikan. Tanda dhammah ditandai dengan dengan ‘wau kecil’ di atas huruf, fathah ditandai dengan ‘alif kecil’ di atas huruf dan kasrah ditandai dengan ‘ya` kecil di bawah huruf.

Tanda titik di bawah dan di atas huruf di masa pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan kemudiannya dilakukan untuk membezakan satu huruf dengan huruf lainnya.

Begitulah adanya. Semoga bermanfaat diketahui dan dikaji lebih lanjut.

Allahu’alam…

Sumber: zulsegamat.wordpress.com

No comments:

Powered by Blogger.