PPIM Tidak Pernah Sokong Doktor Gigi Palsu
Kuala Lumpur - Selepas Kementerian Kesihatan, kini Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula menafikan pihaknya menyokong perbuatan 'doktor gigi palsu' yang menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen.
Kekecohan tercetus apabila ada pihak yang mendakwa badan itu ada terlibat dalam membantu membebaskan gadis yang dikenakan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah itu dengan mengutip dana bagi membayar denda sebanyak RM70,000.
Menurut aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pihaknya tidak pernah berjumpa dengan gadis itu dan dalam masa yang sama menafikan pernah mengeluarkan kenyataan yang menyokong tindakan gadis berkenaan malah tidak pernah terlibat atau mempromosikan kutipan dana untuk membantunya lapor mStar Online.
"Ini poster (kempen membebaskan Nur Farahanis Ezatty) yang dikeluarkan, mana ada logo PPIM.
"Tak tahu pasal apa marah sangat orang dekat PPIM. Jangan jadi musuh PPIM, kita tak buat benda (kesalahan)," katanya dalam siaran langsung di stesen Bernama Radio, Isnin.
Nadzim bagaimanapun mengakui pernah dihubungi oleh peguam dan ahli keluarga gadis itu untuk mendapatkan bantuan, justeru beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak yang beranggapan nasihat yang diberikan oleh PPIM sebagai satu bentuk pertolongan.
"Orang kata PPIM anggap Nara (Nur Farahanis Ezatty) ini aset negara, sebenarnya apa yang tepat adalah PPIM menyatakan bahawa setiap rakyat adalah aset negara dan bukan spesifik dia tak bersalah.
"Tak pernah sekali pun sokong dia dan tak logik kami sokong belajar daripada Youtube. Tak masuk akal kami nak biarkan dia teruskan perniagaan pendakap gigi palsu ini," kata seorang lagi aktivis, Muhammad Zharif Johor.
Dalam masa yang sama PPIM turut menjawba persoalan mengenai penglibatan mereka yang dilihat hadir ketika gadis itu dibebaskan.
"Bezakan dulu PPIM dengan Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PPEIM). Individu yang dilihat itu memakai baju PPIM yang pernah diedarkan sebelum ini.
"Jadi kalau dia mewakili PPIM, ia tidak rasmi," jelas Muhammad Zharif.
(Baca: Wakil Dragon76 Perjelas Isu Bantu Nara, Doktor Gigi Palsu)
No comments: