Anggota Polis Sebenarnya Hendak Menolak Tangan Gadis Terbabit
POLIS masih menjalankan siasatan berhubung gambar anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat yang dilihat memegang tangan seorang wanita berpakaian seksi dan segala hasil siasatan adalah berdasarkan fakta.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, orang awam diminta menunggu hasil siasatan dilakukan pihaknya dan tidak menerima 100 peratus sebarang maklumat dikongsikan menerusi laman sosial yang tidak disahkan sumbernya.
"Siasatan masih lagi dijalankan. Apa-apa yang orang awam hantar dan terima menerusi Internet atau WhatsApp tu biarlah. Benda dah 'viral' (tular), tetapi kita tetap jalankan siasatan dan sebelum nak kata apa-apa, semuanya kena berdasarkan fakta.
"Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, sejak gambar itu dikongsi di laman sosial, dua anggota polis itu sudah dipindahkan keluar dari tugas Unit Kereta Peronda (MPV) dan diletakkan dalam tugas yang tidak ada hubung kait dengan masyarakat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Laporan awal kejadian anggota polis IPD Segamat memegang tangan wanita seksi yang tular di laman sosial. |
Beliau diminta memberi pengesahan tentang satu laporan awal berhubung kejadian itu yang dikongsikan netizen di Facebook yang didakwa perkara sebenar.
Bagaimanapun, Mohd Khalil enggan mengulas lanjut dan memberitahu siasatan masih dijalankan.
Berdasarkan maklumat dalam laporan awal yang tular itu, dua anggota berkenaan didakwa sedang melakukan tugas rondaan MPV di sekitar Bandar Utama, Segamat, antara 4 petang hingga 12 tengah malam, sebelum memberhentikan kenderaan itu di hadapan dua wanita dipercayai warga Thailand yang berada di kaki lima hadapan deretan kedai, pada 10 malam.
Dakwa laporan itu, seorang anggota yang juga memandu MPV berkenaan kemudian menurunkan cermin dan bertanya apa yang sedang dilakukan wanita berkenaan di kawasan itu.
Dakwanya, seorang wanita kemudian menghampiri kereta berkenaan dan menyatakan sedang bekerja sambil meletakkan tangan di cermin kereta.
Pada masa sama, seorang lagi wanita dikatakan mengambil gambar kejadian itu.
Anggota polis yang dilihat memegang tangan wanita itu dikatakan sebenarnya hendak menolak tangan wanita terbabit selepas nasihat anggota itu supaya wanita berkenaan tidak meletakkan tangan di tingkap kereta MPV tidak diendahkan.
Kedua-dua anggota polis itu kemudian dikatakan terus beredar tanpa membuat pemeriksaan ke atas dua wanita berkenaan.
Kredit: hmetro
No comments: