"Syafiq Farhain, Jangan Kacau Periuk Nasi Saya" - Saleem
ISU menggunakan nama Saleem akhirnya selesai apabila syarikat rakaman MVM Production sudah pun bertemu dengan penyanyi itu pada Rabu lalu. Pengarah Urusannya, Rumhadi Rumlan berkata, dalam perbincangan itu pihaknya telah menerima beberapa syarat yang diletakkan oleh penyanyi berkenaan.
Syafiq dilarang guna nama ayahnya Saleem. |
“Kami sudah bertemu dengan Saleem pada Rabu lalu sebelum rakaman Melodi disiarkan semalam (Ahad).
“Dalam perbincangan itu Saleem melarang anaknya iaitu Syafiq Farhain agar tidak mengaitkan nama dia dalam mana-mana temuramah bersama media dan menyanyikan lagu-lagu dia di mana-mana acara,” ujarnya kepada mStar Online.
Rumhadi berkata demikian mengulas tentang laporan Saleem bakal mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat rakaman dan seorang penyanyi baharu iaitu Syafiq Farhain.
Syafiq Farhain |
Dalam laporan program Melodi itu, Saleem menganggap tindakan syarikat rakaman yang mengaitkan namanya dalam mempromosi penyanyi baharu itu telah menganggu periuk nasinya sebagai artis yang masih aktif.
Sementara itu, Hadi berkata, pihaknya dan Syafiq sudah bersetuju dan faham dengan syarat yang diletakkan oleh penyanyi lagu Bukan Ku Tak Sudi itu.
“Kami faham dengan apa yang dia mahu, memang benar ramai penganjur yang mahukan Syafiq menyanyikan lagu-lagu Saleem.
“Kami akan pastikan ia tidak akan berulang dan Syafiq akan menyanyikan lagu dia sendiri dan lagu-lagu penyanyi lain.
“Walaupun pada hakikatnya Saleem sebenarnya tiada hak kerana hak menyanyikan lagu itu terletak pada syarikat rakaman bukan penyanyi, namun kami hormat dan faham,” ujarnya.
Penampilan terkini Saleem 2017. |
Rumhadi berkata, pihaknya juga memastikan Syafiq tidak menyebut dan mengaitkan hubungan anak beranak dan nama penyanyi itu di mana-mana temuramah bersama media.
Selain itu, Rumhadi turut mengakui Saleem merupakan individu yang membawa anaknya ke syarikat berkenaan untuk diperkenalkan sebagai penyanyi.
“Ya, awal tahun lalu selepas Syafiq popular, Saleem bawa dia ke syarikat kami untuk diperkenalkan sebagai artis.
“Tentang promosi berlebih-lebihan itu, apa yang saya boleh katakan, ia adalah tanggungjawab kami sebagai syarikat rakaman untuk menjual lagu yang sudah dirakam,” ujarnya.
No comments: