Hampir 6 Tahun Jadi Hamba Seks Bapa Tiri, Gadis Nekad Buat Laporan
ALOR SETAR – Setelah hampir enam tahun dirogol dan menjadi hamba seks kepada bapa tirinya, seorang gadis berusia 14 tahun akhirnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kulim, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mohd Nashir Ya berkata mangsa nekad membuat laporan polis itu setelah diugut dengan sepucuk pistol oleh bapa tirinya supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa semasa kali terakhir dia dirogol pada 28 April lepas.
Polis kemudian memberkas suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an pada 10 malam keesokannya di sebuah rumah di Taman Kulim Square, Lunas, tempat dia merogol anak tirinya itu sejak dia berusia 9 tahun, katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim pada kira-kira 2.10 pagi, 30 April lepas dan memberkas enam lelaki berusia dari 17 hingga 24 tahun lapor Bernama.
Gambar hiasan. |
“Polis merampas sepucuk pistol semi auto Pietro Baretta bersama-sama tiga butir peluru 9mm dan menemukan sarung pistol berwarna hitam dalam sebuah tong, yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa,” katanya.
Gadis itu dipercayai tinggal berdua dengan bapa tirinya di Lunas selepas ibu kandungnya melarikan diri.
Mohd Nashir berkata bapa tiri gadis itu dan enam suspek lain direman dari 30 April hingga 7 Mei ini.
Katanya bapa tiri gadis itu, yang turut mempunyai dua rekod jenayah bersabit samun dan rusuh, akan disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi perbuatan rogol.
Dia dan suspek lain juga akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api, yang boleh dihukum penjara sehingga maksimum 14 tahun serta tidak kurang enam sebatan.
Mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru, yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mohd Nashir berkata polis sedang memburu dua suspek utama kes pecah rumah dan kes bunuh, dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berdekatan.
Suspek kes pecah rumah ialah Mohd Zakwan Zakaria,26, atau lebih dikenali dengan Pak Kuan dan beralamat di No 50, Kampung Banggol Pauh, Air Puteh, Pendang.
Suspek kes bunuh ialah V. Kogulan,32, yang beralamat di No 41, Jalan BPJ 2/5, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah.
No comments: