Kamal Adli Sedia Kahwini Emma Maembong
HUBUNGAN cinta yang terjalin antara pelakon Kamal Adli dan Emma Maembong sememangnya bukan lagi rahsia.
Kamal yang kini sudah menjangkau 30 tahun juga pastinya tidak dapat lari daripada soalan peminat tentang hala tuju hubungan mereka.
Mengulas hal itu, Kamal memberitahu dia akan berkahwin dengan teman wanitanya itu setelah mendapat keizinan daripada keluarga pelakon jelita tersebut.
“Saya tidak boleh ulas panjang mengenai soal kahwin kerana paling penting adalah ‘lampu hijau’ daripada pihak-pihak sepatutnya kerana saya perlu hormati perkara itu.
“Apa-apa pun setakat ini hubungan kami macam biasa selain fokus kepada kerjaya dan selebihnya kita serahkan kepada Allah,” katanya kepada mStar Online.
Pada masa yang sama, Kamal mengakui sudah bersedia untuk berkahwin kerana enggan bercinta terlalu lama.
Jelasnya, dia tidak mahu pengalaman cintanya sebelum ini berulang namun dia tidak mahu terburu-buru ke arah itu.
Dalam perkembangan lain, Kamal bakal muncul menerusi telefilem Rong Ples, Rong Taim, iaitu projek istimewa bawah Karya 12.
No comments: